Isu Vaksin HPV: Satu Diskusi Ilmiah

Written by on March 2, 2011 in Kesihatan Wanita & Sakit Puan - No comments

Adakah pendekatan pelalian vaksin Human Papilloma Virus (HPV) bagi mencegah kanser serviks wajar?

Itulah soalan yang menjadi tunjang perbincangan Diskusi Intellektual Isu Semasa Wanita Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Saya mewakili ISMA turut serta dalam diskusi ini bagi mendapat gambaran jelas berhubung isu tersebut. Antara badan-badan bukan kerajaan yang turut hadir bersama ialah Islamic Information and Service Foundation (IIS), IMAANA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan lain-lain.

 

 

Majlis telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. Prof Dato’ Dr Zaleha bin Kamaruddin, Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang juga merangkap Pengerusi Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI). Beliau memberi latar belakang isu ini di mana muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membincangkan dan meluluskan isu vaksin ini dari sudut halal dan haramnya, bukan dari sudut pendekatannya dalam bentuk kini iaitu pelalian kepada anak-anak gadis berusia 13 tahun ke atas. Isu pendekatan ini melahirkan kebimbangan sebahagian pihak kerana jangkitan HPV secara umumnya berjangkit melalui hubungan seks rambang.

Pembentangan pertama dimulakan oleh Cik Habiba Abd Rahman selaku Fasilitator Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dibawah tajuk “Ancaman Kanser Serviks di Malaysia’ memberi gambaran penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh pesakit-pesakit kanser servik. Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, pakar perbidanan dan sakit puan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia membentangkan tajuk “Kewajaran Pencegahan Kanser Serviks melalui Pelalian HPV” melalui statistik dan pengalaman beliau mengendalikan kes-kes kanser servik. Ini diikuti oleh “Pelaksanaan Program Pelalian HPV Kebangsaan” dibentang oleh Dr Mymoon Alias selaku Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia yang membentangkan data kebangsaan berhubung kes kanser servik dan program pelalian yang telah dijalankan.

Akhir sekali, majlis mendengar pembentangan dari Puan Sabariah Abdullah, Setiausaha Agung IIS juga lebih dikenali sebagai Pengarah Urusan SABA Islamic Media. Bersama-sama dengan Dr Omar Zaid, rakyat Amerika yang juga bekas pengamal perubatan tetapi kini menjadi Felo Penyelidikan di ISTAC, Puan Sabariah mengajak agar pendekatan pelalian ini yang mempunyai persamaan dengan corak pelalian di negara-negara yang lebih terbuka penerimaan seks rambangnya seperti Amerika Syarikat dan Australia dikaji semula.

Berikut adalah fakta dari kedua-dua pihak:

Pelaliah HPV adalah wajar

Pelalian HPV tidak wajar

  • Kanser serviks hampir mengatasi kanser buah dada sebagai pembunuh no 1 negara. Terdapat purata 480 kematian dari kanser ini setahun.
  • Kanser serviks, bersama-sama kanser hati, adalah 2 jenis kanser sahaja setakat ini yang mempunyai vaksin.
  • Kerajaan membelanjakan 247.4 juta bagi kos merawat pesakit kanser. Melalui vaksinasi yang menelan belanja 48 juta dan pengesanan pap smear  sebanyak 22.5 juta, beban kesihatan dapat dijimatkan.
  • Terdapat 280,000 ribu target sasaran pelajar sekolah/remaja yang berpotensi dijangkiti.
  • Kajian jangka pendek setakat ini menunjukkan kesan samping vaksinasi adalah terkawal dan tidak memudaratkan.
  • Kesan kanser serviks ke atas wanita melibatkan institusi kekeluargaan kerana rata-rata mereka meninggal dunia di usia muda, meninggalkan anak-anak kecil.
  • Tidak perlu menjadikan vaksinasi ini mandatory kerana ibubapa ada hak ke atas anak-anak mereka.
  • Perlu mengkaji kebaikan dan keburukannya untuk jangka masa panjang
  • Tidak wajar mengandaikan semua remaja mungkin dijangkiti virus HPV dan mengidap kanser servik kerana faktor risiko utama ialah pendedahan seks di usia muda dan seks rambang.
  • Data dari syarikat Merck dan Glaxo Smith diragui kerana mereka diketahu menaja banyak jurnal perubatan dan artikel saintifik
  • Dari sudut sosial, vaksinasi dari sudut umum ini dikhuatiri mempunyai implikasi sosial di mana remaja tidak mempunyai kekhuatiran melakukan hubungan rambang kerana dipercayai selamat dari kanser tersebut.

Saya menyarankan bahawa perlu diadakan diskusi susulan melibatkan lebih banyak ‘stakeholder’ seperti penyelidik bagi melihat kewajaran penyelidikan ‘clinical trial’ syarikat farmaseurikal , pakar imunisasi  bagi menjawab keraguan berhubung tahap umur pelalian dan pihak2 lain yang difikirkan wajar.

Pendirian ISMA berhubung dengan pelalian HPV turut dinyatakan oleh rakan sepejuangan saya, Dr Murizah Mohd Zain, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat I-Medik dan Ahli Majlis Wanita ISMA dalam artikel beliau.

 

 

Prof Madya Dr. Rafidah Hanim bt Mokhtar

Ahli jawatankuasa pusat i-Medik ISMA & ahli Majlis Wanita ISMA


Leave a Comment