BANGI, 8 Julai – Wanita bukanlah ‘Superwoman’ kerana kita hanya boleh melakukan sesuatu hanya dengan keizinan Allah melalui hubungan yang rapat dengan Yang Esa.
Perkara ini ditekankan oleh Dr Nor Hayati Hj. Alwi, pensyarah di Fakulti Pendidikan, UPM semasa menjadi panelis Wacana Peradaban anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang mengupas tajuk Wanita Berkerjaya: Cabaran Membina Generasi Harapan di sini, Rabu baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan pekerja, perancangan adalah aspek terpenting utk membahagikan masa melaksanakan segala tugasan.
Melalui perancangan yang teratur, tugasan dapat disusun mengikut keutamaannya dan diselesaikan meskipun sedikit demi sedikit.
Bagi melaksanakan kesemua tanggungjawab, formula yang diamalkan Dr Nor Hayati adalah melalui ilmu, ilham dan wahyu di mana perlunya kita kembali kepada Quran dan Hadis serta sering muhasabah diri.
Mengupas mengenai solusi praktikal untuk merangka pendidikan anak tanpa terlalu bergantung kepada teknologi dan institusi lain, beliau menyarankan untuk menggunakan kurikulum sendiri, diubah mengikut dorongan alam.
Salah satu cara adalah dengan mengajar menggunakan alam dan mengaitkan dengan ketauhidan di samping menggunakan bahan rujukan seperti buku “Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam” oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan.
Dalam wacana yang sama, Ustazah Suriani Sudi yang merupakan seorang pensyarah di Akademi Islam KUIS dan Ahli Majlis Wanita ISMA, mengatakan bahawa ibu bapa perlu memenuhi asas fisiologi anak-anak apabila menghantar mereka ke tempat asuhan. Ini penting supaya anak-anak merasa redha apabila mengetahui bahawa makanan, pakaian dan keselamatan mereka terjamin.
Hakikat ini turut disokong oleh Dr Nor Hayati bahawa keperluan fisiologi dan psikologi penting bagi menghormati anak-anak sama seperti orang dewasa.
Bagi mengurangkan kesan kepada anak-anak dek masa yang terhad dengan ibu yang berkerjaya, ibu-bapa perlu menunjukkan kasih sayang sebelum menghantar dan sewaktu mengambil anak-anak di tempat asuhan.
Ini penting kerana ia dapat memberikan kesan yang sangat mendalam kepada anak tersebut.
Wacana Peradaban ini membariskan Dr Nor Hayati dan Ustazah Suriani Sudi selaku panelis, sementara Prof. Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar daripada ISMA bertindak sebagai moderator.
Media Wanita ISMA







