Munajat kembara

Written by on June 16, 2012 in Karya, Tarbiyyah Wanita - No comments

Wahai Tuhanku
Pemilik hatiku dan jiwaku
Dengan nama-Mu aku berangkat
Dengan takdir-Mu aku mengembara
dan dengan kasih-Mu aku meneruskan perjalanan

Berbekal semangat
cinta dan sayang bonda… keramat dan azimat hidupku
kurentasi liku-liku
Kutinggalkan jejak-jejak lalu yg penuh luka
Kususuri denai baru yang serba asing… canggung dan jelek rentak kakiku
Kugagahi jua langkah kaki ini
Kerana kuyakini… di penghujungnya nanti
akan ada senyum untukku

Ilahi Rabbi
Aku memohon kebaikan, taqwa dan amal
yang Engkau redhai dalam musafirku ini
Mudahkanlah bagiku perjalanan ini
dan bahagiakanlah diriku di kesudahannya nanti

Aku memohon keimanan memenuhi hati kerdil ini
Sehingga kusedar segala yg kulalui
adalah yang terbaik untukku… agamaku… duniaku… akhiratku
dan kurniakanlah jiwa sepi ini
redha… sabar… insaf… atas segala takdir-Mu

Sendirian di bumi ajnabi
Perjalanan lalu yang menghantui
Kehidupan kini yang serba sepi
aku pasrah Ya Allah!

Kupanjatkan impian
Memiliki hati yang segar
syukur, redha dan tabah
Ihsan dari-Mu ku pohon
agar diri ini kembali riang
kerana kutahu kasih-Mu untukku

tak pernah hilang

Wahai Yang Maha Memahami
Terima kasih dariku yang infiniti
Engkaulah Sahabat… Engkaulah Teman
Engkaulah Yang Paling Setia
Di kala hatiku tenang dan derita

Dan kini… segalanya hanya untuk-Mu
kerana hanya dari-Mu
… kasihku berbalas
… salamku bersambut
… rinduku terlerai
Terima kasih Tuhanku!

Oleh,

 Nur Gemilang
4/2/2001
11.52 a.m
Belfast, N.Ireland, UK

Leave a Comment