Menempah mahligai di syurga

Written by on June 19, 2012 in Pena Ketua Wanita - No comments

Ibu bapa mana yang tidak mengimpikan anak-anak yang soleh dan solehah? Mereka ini boleh menjadi pendinding daripada azab api neraka. Malah doa dan amal soleh mereka membawa kita ke syurga.

Daripada manakah datangnya zuriat yang soleh dan solehah ini? Tentu sekali kita akan melihat kepada ibunya. Seumpama tanaman yang baik berasal daripada benih yang baik. Begitu jugalah anak yang soleh itu datangnya daripada ibu yang solehah. Masa dan waktu anak-anak banyak dihabiskan bersama ibunya berbanding dengan ayahnya.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. amat menekankan betapa pentingnya kita memilih pasangan yang betul-betul beragama dan berakhlak. Sama ada memilih pasangan untuk diri sendiri atau memilih pasangan untuk anak-anak kita.

Daripada Aisyah r.a.

Pilihlah untuk tempat air manimu dan nikahilah orang-orang yang sepadan.” (Maksud hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

Maksud hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya sifat bijak dan berhati-hati ketika menentukan pilihan hati. Seorang ibu yang berakhlak baik tentu sekali akan mendidik anak-anaknya dengan akhlak yang baik. Begitu jugalah sebaliknya.

Hari ini kita melihat, nilai-nilai ini semakin jauh daripada generasi muda. Ibu bapa sudah tiada hak dan kuasa untuk menentukan calon suami atau isteri kepada anak-anaknya. Kuasa memilih terletak sepenuhnya kepada anak-anak. Baik bagi anak, baiklah bagi ibu bapa. Buruk bagi anak, buruklah juga pada ibu bapa. Akibatnya, ramai daripada kita gagal memilih pasangan yang betul-betul baik untuk membina sebuah keluarga yang harmoni.

Kita semua menyedari, harta bukanlah jaminan kebahagiaan. Kecantikan rupa paras juga bukanah penentu kesejahteraan rumah tangga. Namun begitu ramai daripada kalangan kita lebih mementingkan harta dan rupa paras sebagai syarat utama dalam menentukan pasangan hidup. Ramai daripada kalangan kita mengabaikan aspek agama dan akhlak dalam pemilihan calon suami atau isteri.

Kesannya boleh diperhatikan dalam keluarga kita hari ini. Ada anak gadis sanggup menipu, menyatakan pergi ke kelas tusiyen, pada hal bertemu teman lelaki di suatu tempat. Seorang anak lelaki sanggup memukul dan membunuh ibunya hanya kerana perlukan duit untuk membeli dadah. Seorang anak yang disangkakan baik oleh ibu bapanya rupanya seorang yang merempit di malam hari.

Senario ini banyak berlaku dalam keluarga kita. Ia berpunca daripada berbagai-bagai sebab. Mungkin kita mendakwa, pengaruh kawan, persekitaran, media cetak dan elektronik atau pengaruh globalisasi.

Namun begitu selain daripada pengaruh persekitaran dan dunia tanpa sempadan, peranan ibu bapa dalam mendidik dan menyediakan persekitaran yang baik kepada anak-anak adalah faktor utama dalam mempengaruhi tingkah laku anak-anak.

Kehidupan yang begitu moden dan canggih pada hari ini, memberi satu gaya hidup dalam keluarga. Seorang ayah yang sentiasa sibuk bekerja, mencari pendapatan lebih untuk keluarga. Balik terus menyibukkan diri melayan laman sosial.

Seorang ibu yang bekerjaya, balik rumah terus ke dapur dan menyediakan keperluan keluarga. Masih sempat mencelah melayari laman sosial. Atau balik larut malam menyiapkan kerja dan tugasan demi memperoleh pendapatan lebih.

Sekiranya tidak timbul kesedaran ini, kita akan terus hanyut dengan arus pemodenan. Nilai-nilai utama dalam keluarga semakin terhakis. Hilang sudah kasih sayang, perhatian, hormat menghormati, tolong menolong dan lain-lain sifat baik dalam keluarga.

Sebagai isteri dan ibu yang solehah, tentu sekali kita tidak mahu suasana ini berlaku dalam keluarga. Menanamkan budaya sihat dan kasih sayang dalam keluarga adalah tanggungjawab kita. Ia perlu ditanam dan dibaja seawall usia perkahwinan. Sesuatu yang telah terlanjur agak sukar untuk dibina kembali.

Sebab itulah pentingnya kita memilih pasangan yang baik, berakhlak dan beragama. Mereka ini boleh menyedarkan sewaktu kita lupa. Mendidik anak-anak dengan nilai-nilai agama, cintakan Allah dan Rasul, cintakan kebaikan, cintakan al-Quran, suka membaca al-Quran, rajin menunaikan sembahyang lima kali sehari semalam dan sentiasa berdoa kepada kedua ibu bapa. Amalan inilah sebenarnya yang mampu menjadi perisai dan benteng jati diri anak-anak kita.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. meletakkan EMPAT ciri bakal isteri atau calon ibu kepada anak-anak kita. Seorang wanita yang cantik, berketurunan baik, berharta dan beragama. Namun begitu, Rasulullah s.a.w. menegaskan sesiapa yang mahu selamat agamaya, dunia dan akhiratnya, pilihlah wanita yang mempunyai agama dan berakhlak mulia. Walaupun rupanya tidak secantik rembulan dipagar bintang. Kita telah membuat pilihan yang tepat.

Saya pernah berjumpa dengan sebuah keluarga yang mempunyai jumlah keluarga yang agak ramai. Si ayah dan ibu merupakan pasangan yang berkerjaya, sentiasa sibuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat. Mempunyai anak seramai sepuluh orang. Namun begitu semua anak-anaknya berjaya, suka menolong orang lain, berakhlak baik dan menjadi sebutan dan contoh dalam masyarakat.

Apabila ditanya rahsia keharmonian rumah tangga, anak-anak yang mendengar kata, saling menghormati, solat berjamaah di masjid, menjaga batas-batas pergaulan dan aurat. Si anak menjawab,” Kami ada usrah keluarga setiap minggu”, Ya, inilah rahsia keharmonian keluarga kawan saya tadi.

Oleh;

 
 
 

 

 

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh
Pensyarah di Jabatan Usuluddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber: Majalah Iman Bil no.2.

 

Leave a Comment