Alangkah indahnya apabila kita mampu memahami ayat-ayat Allah Taala yang tertulis dalam al-Quran al-Karim. Keindahan dan keseronokan itu terungkap setiap kali kita membaca firman-firman-Nya yang sentiasa hidup dan sesuai dengan segala perkembangan manusia.
Salah satu ayat yang saya ingin kongsikan dengan rakan-rakan pembaca sekalian ialah firman Allah Taala yang memerintahkan kita semua agar menjaga kesejahteraan diri sendiri dan ahli keluarga dari azab api neraka.
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (al-Tahrim 66:6)
Dalam ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah Taala kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya agar menjaga diri dan keluarganya dari seksaan api neraka.

Ayah merupakan seorang ketua keluarga. Dia bertanggungjawab mencorakkan suasana rumah dan persekitaran yang soleh dalam keluarganya. Seorang ayah perlu mempunyai ciri-ciri qawwamah (tonggak keluarga). Sang isteri dan anak-anak akan merasa lebih selamat dan tenang apabila dapat berpaut kepada kekuatan peribadi si ayah.
Si ayah bertanggungjawab memastikan dirinya melaksanakan perintah Allah, menunaikan solat lima kali sehari semalam, bersabar di atas kesusahan dan kesukaran ketika melaksanakan perintah-Nya, menjauhi maksiat dan pergaulan bebas, jujur dan amanah dalam pekerjaannya.
Sikap baik yang ditonjolkan oleh si ayah ini akan menjadi qudwah atau ikutan kepada si isteri dan anak-anak. Apatah lagi sekiranya diiringi dengan nasihat, peringatan dan suruhan daripada si ayah agar keluarganya melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Banyak hadis-hadis yang membicarakan tentang keprihatinan seorang suami atau isteri yang bangun pada waktu malam untuk mengerjakan qiamullail.

Dalam satu riwayat yang dibawa oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah ada menyebutkan tentang hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Allah Taala merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam untuk menunaikan solat sunat, kemudian dikejutkan isterinya, apabila isterunya enggan bangun, direnjiskan air ke muka isterinya, begitu jugalah Allah Taala merahmati wanita yang bangun pada waktu malam untuk menunaikan solat sunat kemudian dikejutkan suami, sekiranya suaminya enggan bangun, direnjiskan air ke wajah suaminya”.
Keindahan kehidupan berumahtangga bukan sahaja dilihat dari aspek kasih sayang yang dipamerkan oleh pasangan suami isteri. Tetapi juga aspek menjaga dan mengukuhkan hubungan dengan Allah. Dialah yang telah mencampakkan rasa kasih sayang, ketenangan dan rahmat ke dalam hati-hati dan jiwa-jiwa pasangan suami isteri.
Seorang ayah yang baik, akan mendidik anak-anaknya dan keluarganya dengan didikan agama. Didikan yang membawa kepada mentauhidkan Allah dalam kehidupan harian. Sekiranya dia tidak mampu memberikan sendiri pendidikan tersebut, hendaklah dihantar anak-anak dan isterinya ke kelas-kelas pengajian.
Tujuannya ialah supaya isteri yang dikahwininya mampu membantunya melaksanakan tanggungjawab menjaga keluarga dari seksaan api neraka. Kesibukan harian dalam kehidupan suami isteri yang bekerjaya bukanlah alasan kepada mereka untuk melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak mentaati perintah Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.
Sebab itulah agama amat menggalakkan pemilihan pasangan yang mempunyai akhlak dan agama yang baik. Kelebihan ini memudahkan si suami atau si ayah dalam membentuk persekitaran yang soleh dalam keluarganya.
Bayangkan si isteri yang dikahwini itu tidak memenuhi syarat agama dan akhlak yang mulia. Ia mempunyai wajah yang cantik jelita tetapi rendah nilai agama, buruk pula akhlaknya dengan keluarga dan jiran-jiran. Bagaimana si suami boleh mengharapkan isteri seumpama ini mendidik anak-anaknya menuju keredaan Allah Taala; beradab sopan, menunaikan solat, menjauhi maksiat dan dosa.
Kita semua tentu sekali berusaha untuk memelihara diri dan keluarga dari azab seksaan api neraka. Usaha ini hendaklah bermula seawal pemilihan jodoh dan pasangan. Kita hendaklah memilih pasangan yang mampu membantu.
Pasangan yang baik dan beragama mampu membantu kita ke arah merealisasikan cita-cita dan misi kehidupan. Tentu sekali misi kita mencapai keredhaan Allah di akhirat kelak. Misi inilah yang menghubungkan kita dengan salam akhirat.
Menyelamatkan diri dan keluarga daripada seksaan api neraka perlu menjadi slogan hidup di dunia ini. Ia hendaklah sentiasa disebut dan diperingatkan dalam kehidupan berkeluarga. Anak-anak perlu diberitahu tentang kehidupan alam akhirat. Ia yang menjadi destinasi terakhir kehidupan. Semua makhluk, sama ada manusia yang soleh atau manusia yang jahat semua akan berhimpun di akhirat.
![]()
Semua kita akan mendapat habuan daripada apa yang dikerjakan dan diusahakan sewaktu di dunia. Apa yang ditanam sewaktu di dunia, akan dituai hasilnya di akhirat. Semua kita tidak boleh terlepas daripada janji dan ketentuan Allah Taala, walau sebesar mana sekalipun alasan yang diberikan.
Sebagai seorang Islam yang cintakan agamanya, kita hendaklah sentiasa peka dan sensitif terhadap unsur-unsur yang bertujuan menghancurkan jati diri sebuah keluarga muslim yang diredhai Allah Taala.
Kita hendaklah mengawal sumber-sumber yang boleh merosakkan keperibadian dan jati diri anak-anak. Jangan biarkan mereka hanyut dan leka dengan permainan komputer dan internet secara keterlaluan. Kelalaian ini akan menyebabkan mereka jauh daripada ajaran agama. Sesuatu perkara, sekiranya diambil berlebihan, ia akan merosakkan dan menghancurkan kehidupan sendiri.
Sebab itulah sebuah keluarga muslim memerlukan pengawalan dan perisai yang boleh mengawal anak-anak daripada jauh. Pada saya, tidak ada perisai dan kawalan yang paling hebat melainkan didikan agama.
Didikan agama yang saya maksudkan ialah yang merangkumi aspek tauhid kepada Allah, hukum halal dan haram, adab sopan dan komunikasi serta interaksi yang betul sesama umat Islam dan bukan Islam. Begitu juga ayat-ayat al-Quran yang dibaca dan dihafal oleh anak-anak merupakan penawar dan pendinding yang paling kuat dan utuh. Inilah yang mampu mengawal mereka daripada terpengaruh dengan unsur-unsur negatif dan jahat.
Membina persekitaran yang soleh dalam keluarga memerlukan usaha yang berterusan dan kesabaran yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga. Namun begitu, mempertahankannya memerlukan usaha yang berganda dan kesedaran yang lebih tinggi. Terlajak perahu boleh di undur, terlepas didikan agama buruk padahnya.
Oleh;
Ustazah Norsaleha Mohd Salleh
Pensyarah di Jabatan Usuluddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor,
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber: Majalah Iman Bil no.1.






