Firman Allah S.W.t dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 bermaksud:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri”.
Ayat di atas jelas menerangkan tentang kedudukan wanita di dalam Islam. Islam sangat mengambil berat dan memandang tinggi golongan wanita. Kemuliaan wanita di sisi Allah bukan sahaja meniti di bibir cendikiawan dan ilmuan Islam malah, salah satu surah yang terdapat dalam Al-Quran ialah Surah An-Nisa’ yang membawa maksud wanita. Begitu juga terdapat di dalam kitab-kitab hadis yang membincangkan mengenai nasihat supaya berbuat baik terhadap wanita sebagaimana yang terdapat dalam kitab Riyadhussolihin karangan Imam An-Nawawi.
Sejarah Islam dan Wanita dalam Sukan
Sejarah silam telah membuktikan adalah cabang kesihatan fizikal dan mental (fizikal cergas, mental cerdas). Zaman Rasulullah S.A.W, Saidatina Aisyah Isteri nabi sendiri pernah berlumba lari dengan Rasulullah S.A.W ketika bermusafir. Ada ketikanya Saidatina Aisyah menang dan ada ketikanya kalah dalam perlumbaan tersebut. Safiyyah, ibu saudara Rasulullah S.A.W dan kakak kepada Saidina Hamzah telah membuktikan ketangkasan dalam tindakkannya semasa menyertai Perang Uhud. Ketika orang Islam ditimpa kekalahan, sebahagian dari mereka mula melarikan diri dari medan perang. Melihat keadaan ini dan demi maruah Islam, Safiyyah bersama tombak di tangannya terus memukul muka mereka dengan tombak sambil menyemarakkan semula semangat mereka untuk terus berjuang. Semasa Perang Khandak, sekali lagi membuktikan ketangkasan dan kecergasan Safiyyah. Pada ketika itu, Safiyyah dengan pancang di tangan mengetuk kepala pengintip Yahudi sehingga mati.
Kehebatan wanita Islam terdahulu bukan setakat menyertai perang, malah ada yang bertanggungjawab sebagai perisai kepada Rasulullah S.A.W di medan pertempuran. Contohnya Ummi Ummarah, seorang wanita Ansar yang mula-mula memeluk Islam. Beliau menyertai peperangan Uhud, Hudaibiyyah, Khalbar, Ummratul-qadha, Hunain dan Yamamah. Beliau menjadi perisai kepada Rasulullah S.A.W apabila ada musuh yang menghampiri baginda. Kisah kehebatan, semangat perjuangan, keberanian, sumbangan dan pengorbanan wanita Islam di zaman silam tiada tolok bandingnya. Islam adalah agama yang meletakkan wanita setaraf dengan lelaki.
Ketangkasan, kecergasan fizikal dan mental mereka membuktikan mereka melakukan latihan fizikal dan mental yang berulang sama seperti apa yang dilakukan dalam bersukan atau bersenam. Islam sangat menitikberatkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi.
Dilihat dari sudut kematangan Negara Malaysia kini, kaum wanita jauh lebih hebat malah martabat kaum wanita terus dijulang sehingga mampu memegang tampuk pimpinan Negara. Persidangan Dasar Wanita Negara bukti betapa kerajaan tidak pernah mengabaikan wanita malah kebajikan dan maruah wanita terbela. Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan negara kaum wanita tidak pernah ketinggalan dalam apa jua aspek sama ada dalam bidang pentadbiran, pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan sukan selagi berlandaskan syariat Islam. Dalam bidang sukan, wanita tidak ketinggalan malah harum di persada dunia seperti pemain Nur Suryani Mohd Taibi atlet menembak Malaysia. Berpakaian menutup aurat dan beliau pernah merangkul pingat emas pertama dalam acara 50 meter rifle 3 posisi wanita akhir di lapang sasar,Jakabaring,Palembang.
Hal demikian menunjukkan bahawa Islam sebagai agama syumul bukan sahaja menekankan aspek peribadatan semata malah satu cara hidup yang merangkumi peraturan dan panduan dari segenap aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan sukan. Dunia mengetahui bahawa sukan menjana kecergasan fizikal dan mental, bermakna dengan bersukan badan sihat otak cerdas (cergas cetus cerdas). Pepatah Arab ada menyebut bahawa ‘al-aql salim fi jism as-salim’ ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’. Walau bagaimanapun dan dalam apa juga bidang termasuk bidang sukan, Islam tetap menetapkan beberapa syarat dan peraturan sebagai rujukan dalam menjana setiap gerak-geri umatnya terutama dalam kalangan wanita agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki.
Kebaikan bersukan
Sukan adalah satu aktiviti yang biasa dilakukan sama ada untuk mengisi masa lapang mahupun untuk pertandingan. Malah dengan bersukan juga tubuh badan menjadi sihat dan bertenaga serta dapat menguji daya kekuatan fizikal dan mental seseorang yang terlibat dengan sukan. Rasulullah SAW sendiri sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan.
Rasulullah SAW dalam bersabda yang bermaksud: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim).
Hadis ini jelas memperlihatkan betapa Rasulullah S.A.W amat menitikberatkan kesihatan agar terhindar dari penyakit yang memudartkan umpamanya jantung, strok,darah tinggi, barah, diabetis dan sebagainya.
Selain daripada itu, dengan sukan juga dapat memupuk tali persaudaraan antara ahli keluarga, masyarakat setempat, negara dan bangsa di dunia. Sebagai contoh, sukan menjadi tali penghubung antara Malaysia dengan negara-negara luar. Bermakna sukan bukan saja menguji kekuatan fizikal dan mental malah membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi perpaduan ummah sejagat.
Amalan temasya sukan di mata dunia dari sukan dalam negara sehinggalah ke kancah antarabangsa seperti sukan Olimpik dan sebagainya, menjadikan sesebuah negara terkenal dan imej negara terjulang. Dengan ini, sesebuah negara bukan saja terkenal oleh kemajuan sains dan teknologinya, malah sukan juga memainkan peranan penting memartabatkan negara di mata dunia. Sebagai contoh, sukan menjadi tali penghubung antara Malaysia dengan negara-negara luar. Malah negara luar menggeruni Malaysia kini kerana taraf sukan Malaysia kini tidak ubah seperti berdiri sama tinggi dengan sukan negara luar. Kehebatan Malaysia kini bukan saja terletak pada kehebatan politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi malah dalam bidang sukan juga.
Dakwah dalam konteks Islam adalah sangat luas, dakwah bukan saja dilakukan di masjid-masjid, atau di majlis ilmu atau melalui usrah. Dakwah juga boleh dilakukan dengan bersukan yang mana sukan adalah medan yang luas dan wasilah terbaik untuk berdakwah. Pada peringkat permulaan mungkin cukup sekadar dakwah bil hal dan seterusnya tafaddhol. Contoh, baik semasa bersukan adalah seperti berhenti bila mendengar azan, berhenti sebelum azan Maghrib, memakai pakaian yang menutup aurat, tidak memaki hamun apabila bersukan, elakkan pergaduhan dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. Cukup mudah tetapi sebenar itulah cara mudah untuk berdakwah dalam sukan.
Adab dan etika wanita semasa bersukan
Dalam Utusan Malaysia 7/72011, YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Bin Cheek, Menteri Belia dan Sukan dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak mempunyai halangan sekiranya terdapat mana-mana atlet wanita beragama Islam yang ingin mengenakan pakaian menutup aurat ketika menyertai sebarang kejohanan termasuk di peringkat antarabangsa. Beliau mengambil bukti kejayaan telah dicipta oleh dua orang atlet menembak kebangsaan iaitu Nur Suryani Mohd Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim meraih emas acara menembak 10 meter air rifle berpasangan wanita pada sukan Komanwel di India 2010. Memetik ucapannya, “Dalam keadaan menutup aurat dan bertudung telah membuktikan bahawa pakaian bukan penghalang kepada atlet Malaysia untuk berjaya”. Kenyataan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak menghalang atletnya menutup aurat dan bertudung litup semasa bersukan dan bukan penghalang untuk berjaya, terpulang kepada personaliti dan jati diri serta keimanan atlet tersebut.
Menurut Dr. Mashitah dalam harian Metro Januari 2012, bersukan adalah sesuatu yang harus. Ia baik untuk kesihatan dan wajar dilakukan dalam keadaan beradab dengan pakaian yang sopan dan dalam keadaan tidak bercampur lelaki dan perempuan. Jika sukan dijadikan profesion, sudah tentu ada pakaian yang perlu dipatuhi. Oleh yang demikian, satu anjakan paradigma perlu dilakukan bagi mengislahkan keadaan ini. Contohnya hari ini rekaan pakaian renang wanita Islam ciptaan ahli perniagaan Turki, Mehmet Sahin bagi muslimah yang dipasarkan satu alternatif terbaik menggalakkan muslimah menceburi sukan akuatik selaras dengan syariat Islam yang bersifat syumul, dinamik dan fleksibal.
Australia juga telah memperkenalkan pakaian renang yang menutup aurat khas untuk wanita Islam. Pakaian ini dibuat daripada polyester, menutup aurat dari kepala hingga ke kaki. Pengenalan pakaian burqini ini disokong oleh Majlis Islam Australia dan Mufti Australia. Pakaian ini ternyata memberi kebebasan kepada wanita Islam untuk menjalankan aktiviti sukan air dan bergiat aktif dalam aktiviti renang tanpa perlu mendedahkan aurat.
Batasan wanita bersukan
1. Hendaklah menjaga aurat dengan memakai pakaian menurut syariat.
Atas dasar Islam itu indah dan amat menjaga sensitiviti wanita serta kedudukan sebagai muslimah, maka Islam menetapkan tata cara garis panduan wanita yang ingin keluar sama ada untuk bekerja, bersukan atau perkara lain mestilah menjaga adab-adab antaranya dengan izin suami bagi yang bersuami dan bapa bagi yang belum, menutup aurat dengan memenuhi syarat-syaratnya seperti tutup kawasan yang wajib, tidak ketat, tidak nipis dan tidak menyerupai lelaki, menjaga suara dan menjaga pergaulan dengan lelaki.
Sabda Rasullullah S.A.W “Wanita itu adalah aurat, maka apabila ia keluar mendonggaklah syaitan memandang akan dia.”- (Riwayat Ahmad, Thabrani dan Hakim). :
Dalil lain yang menunjukkan seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Dengan ini jelas, bagi menjaga kehormatan seorang wanita, Islam telah menetapkan garis panduan di dalam Al-Quran di mana ia mewajibkan bagi setiap wanita muslim menutup aurat iaitu menutup segala bahagian tubuh badan dari hujung kepala ke hujung kaki kecuali kedua-dua tapak tangan dan muka. Menurut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan bahawa: “Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya….”. Dr. Ali Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daaghi, Ketua di Jabatan Usul al Fiqh, Fakulti Syariah, Universiti Qatar menambah:
“Tidak dapat disangkal bahawa agama Islam tidak pernah menghalang kaum wanita melibatkan diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira. Syarat-syarat tersebut adalah:
1) Wanita dilarang memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik perhatian kaum lelaki.
2) Wanita dilarang mendedahkan aurat mereka.
3)Wanita dilarang bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan.”
2. Bersukan hanya di kalangan wanita
Mengambil kepentingan hak dan kemuliaan wanita dalam sukan adalah sesuai jika tempat dan waktu bersukan bagi lelaki dan wanita diasingkan. Wanita mempunyai hak yang perlu dilayan sesuai dengan fitrah dan kejadian wanita yang sopan dan pemalu. Layanan istimewa bukan sahaja terhadap wanita Islam malah terhadap wanita buka Islam. Seperti contoh Contohnya pengasingan penggunaan bilik gymnasium mengikut hari-hari tertentu antara lelaki dan perempuan yang diamalkan dikebanyakan IPTA di Malaysia. Dengan pengasingan tersebut kaum wanita dapat melakukan aktiviti sukan tanpa batasan.
3. Menjaga pergerakkan semasa bersukan
Tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggang lenggok yang menggoda. Sukan wanita yang boleh membawa fitnah kepada lelaki seperti berenang, gimnastik, luncur ais , tarian ballet dan sebagainya harus diadakan sesama wanita dengan syarat-syaratnya. Dr Yusuf Qardawi menyatakan:
“Permainan yang dilakukan wanita seumpama berenang, gimnastik, luncur ais, tarian ballet, lumba lari, lompat jauh dan sebagainya, harus diadakan sesama wanita dengan syarat-syaratnya. Tidak ada lelaki yang bukan mahram melihat sukan wanita seumpama ini. Oleh kerana itu sukan-sukan wanita seumpama berenang, gimnastik dan seumpama dengannya haram disiarkan dan ditonton oleh lelaki yang bukan mahram.”
4. Batasan penonton atau penyokong
Dalam menyokong pasukan, keganasan perlu dielakkan. Menang dalam pertandingan tidak semestinya menghina lawan yang kalah. Islam memandang sukan sebagai jalan meningkatkan kasih dan kerjasama antara manusia. Penyokong sukan wanita biarlah dari kalangan wanita sahaja, tidak dipertontonkan kepada lelaki. Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara ,membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Dicucuk kepala seseorang dengan jarum besi lebih baik dari dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Hadis Riwayat Tabrani)
5. Sukan tidak melalaikan
Sukan tidak melalaikan sehingga menyebabkan meninggalkan benda yang wajib seperti kewajipan bersolat. Firman Allah SWT:
“Dan celaka bagi orang yang lalai dari melakukan solatnya (sehingga solat diluar waktu).” (4 : al-Ma’un).
6. Wanita perlu ada jati diri
Wanita yang bersukan perlu ada jati diri dan keimanan yang teguh agar tidak mudah membuka tudung semasa mempamerkan aksi sukan. Sesetengah atlet wanita yang berkecimpung dalam sukan sering kali dilihat membuka tudung semasa bersukan dan kembali bertudung selepas kejohanan atau pertandingan. Fenomena ini dilihat sebagai mencemar imej Islam dan jati diri yang goyah. Perlu ada cara lain yang difikirkan bagi mengatasi syarat yang dikenakan oleh sesetengah peraturan dalam sukan yang tidak membenarkan memakai tudung ketika kejohanan. Atlet juga boleh memakai tudung yang sesuai untuk bersukan seperti memakai Sports Hijab rekaan Elham Seyed Javad dari Kanada semasa bersukan.
Atlet tekong skuad wanita Indonesia Cahaya Permata Fahrani perlu dicontohi. Tampil dengan pakaian yang menutup aurat sama sekali tidak menghalang beliau melakukan libasan kencang ketika beraksi pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) tahun 2011 yang berlansung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Sebagai seorang muslim perlu ada jati diri dan tidak perlu meniru gaya orang barat untuk bersukan. Jati diri dan iman yang teguh tidak menjadi penghalang untuk seseorang atlet menutup aurat semasa bersukan walaupun di peringkat antarabangsa.
Ungkapan dari Al-Hikam iaitu “Istiqamah itu lebih tinggi daripada Karamah kerana Istiqamah itu hakikatnya lebih sukar. Istiqamah memerlukan mujahadah sedangkan Karamah itu adalah anugerah. Mujahadah itu kerja kita dan Karamah itu ‘kerja’ ALLAH. Berdasarkan ungkapan ini, jelas mengajak kita melakukan sesuatu amal untuk kejarkan Istiqamah bukannya mengejar Karamah. Oleh yang demikian, untuk mendapatkan Istiqamah perlukan pengorbanan. Bersukan berlandaskan syariat adalah satu pengobanan, pengobanan melawan hawa nafsu, pengorbanan berpakaian menurut syariat dan sebagainya.
Cadangan Sukan Untuk wanita
1. Sukan yang dianjurkan untuk wanita haruslah bersesuaian dengan keadaan. Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Persatuan-persatuan Pengguna Muslim perlu bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia untuk merealisasikan hasrat ini. Dalam memperkatakan pakaian menutup aurat, kita perlu mencontohi negara Iran. Aktivis Iran sering tampil memperjuangkan hak wanita berpakaian menutup aurat ketika bersukan. Sebagai contoh pernah satu ketika Persatuan Bola Sepak Iran memperjuangkan agar pasukan bola sepak wanita mereka diberi peluang menggunakan pakaian menutup aurat sepenuhnya pada Kejohanan antarabangsa di Singapura.
2. Golongan wanita yang melibatkan diri dalam sukan secara profesional perlu mempunyai jati diri yang kukuh berlandaskan syari’at Islam. Hal demikian menekankan bahawa segala hal ibadat wajib seperti solat dan puasa wajib ditunaikan walaupun atlet bertanding di peringkat antarabangsa.
3. Batasan aurat antara lelaki dan wanita perlu dijaga. Oleh yang demikian tidak keterlaluan apabila kita menetapkan atau menyediakan stadium khas untuk wanita sahaja di mana atlet dan penonton adalah dari kalangan wanita sahaja. Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohamed Ghazali (Pas-Titiwangsa) pernah mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri agar mewujudkan ruang senaman eksklusif di komples sukan khas untuk golongan wanita Islam bersukan. Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmod 2010 juga pernah menyarankan agar Kementerian Belia dan Sukan menyediakan prasarana sukan kepada wanita Islam.
4. Dari segi adab berpakaian, pengeluaran fesyen sukan atau pakaian sukan perlu mengharuskan pakaian menutup aurat untuk menfaat masyarakat wanita bersukan. Pakaian dan trend masa kini yang kurang sesuai sedikit sebanyak telah mengurangkan minat wanita Islam untuk aktif dalam sukan walaupun mereka mempunyai minat dan bakat untuk dipamerkan dalam bidang sukan. Sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan Ruqaya Al- Ghasara dalam sukan Asia di Doha beberapa tahun lalu membuktikan bahawa pakaian menutup aurat bukan penghalang bagi wanita menempa kejayaan dalam sukan. Di negara kita, Sukan Nisa’ -acara sukan khas untuk wanita berjalan penuh meriah dan warna warni dengan kehadiran ratu pecut 200m sukan Asia Doha, Ruqayya al-Ghasara mencetus semangat peserta dan penganjur. Nampak remeh tentang pakaian wanita nemun arahan Allah swt sangat jelas dan tegas melalui firmanNya dalam surah an-Nur ayat 30-31 yang bermaksud: “….Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram, dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Dengan demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya.”
KESIMPULAN
Penglibatan wanita dalam sukan haruslah dipandang dari perspektif sama ada membawa implikasi yang baik ataupun sebaliknya. Secara dasarnya, kebanyakan wanita dikaitkan dengan kelembutan dan wujudnya ketidaksesuaian dalam mana-mana acara sukan. Namun, fenomena ini masih mampu diperbetulkan dengan pelbagai cara melalui penekanan dan perundangan baru yang melanggar peraturan dan adat khusus masyarakat Timur di Malaysia.
Etika berpakaian, penetapan masa dan batasan dalam pergaulan di dalam bersukan merupakan antara pembangunan secara globalisasi semestinya dijadikan wadah utama tanpa mengenepikan pegangan segenap lapisan masyarakat.
Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki. Peraturan umum dalam Syari`ah ialah apa-apa perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makan, minum, berpakaian atau sebagainya, adalah dilarang. Al-Qur’an mengisytiharkan:
“Hai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”(Al-Ma’idah: 87) .
Sumbangan artikel daripada,
Hamsiah Binti Bontal (Master Sains Sukan, UPSI)
Jane Francisca Seruti (Master Sains Sukan, UPSI)
Dr. Nelfianty Abd Rasyid (Pensyarah, UPSI)






