BANDAR BARU BANGI, 19 April – Semua anak yang dilahirkan di dunia ini mempunyai keistimewaan masing-masing kerana mereka telah bergelar juara bermula dari awal pembentukan mereka lagi, kata Ustazah Norsaleha Mohd Salleh, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Seminar Anak Soleh Anak Cemerlang (ASAC) di pejabat ISMA pusat di sini hari ini.
“Ketentuan cemerlangnya anak itu adalah pelbagai. Ia bukan hanya pada kecemerlangan akademik. Walaupun anak yang dilahirkan itu mempunyai kekurangan dari segi fizikal atau mental, mereka tetap istimewa”, tambah Ustazah Norsaleha.
Seminar yang akan dilaksanakan di seluruh negara ini akan membincangkan isu-isu kekeluargaan dan mengajak ibubapa supaya menghargai setiap anak yang dikandung mereka, kata beliau.
Menurut Ustazah Norsaleha, seminar ini juga akan mendedahkan kepada ibu bapa cara-cara mengendalikan anak-anak yang abnormal, seperti ‘Dyslexia’, perkongsian pengalaman kepada ibu bapa untuk membentuk anak menjadi ‘Sang Juara’ dan pengurusan pemakanan anak-anak.
“Pemakanan anak-anak memberi pengaruh yang besar kepada pembentukan emosi dan psikologi mereka”, tambah beliau
Program ASAC ini adalah kesinambungan daripada Konvensyen Keluarga Melayu Muslim yang diadakan pada 22 Oktober tahun lepas, beritahunya.
Dalam memastikan program ini mencapai sasarannya, Biro Wanita & Keluarga ISMA juga ada menganjurkan pelbagai program lain seperti Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM), Obor Kasih, Selangkah Ke Gerbang Perkahwinan, Ibu bapa Soleh Anak Cemerlang, Kelab Remaja ISMA dan Usrah Keluarga, beritahu Ustazah Norsaleha lagi.
“Program-program ini memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat bermula dari kanak-kanak, remaja hingga mereka yang telah mendirikan rumah tangga”, ujarnya.
Disediakan oleh,

Nazariyah Yahaya
Wartawan
Media Wanita ISMA






