Ibu bapa cuai dalam pembentukan sebenar anak-anak

Written by on April 20, 2012 in Aktiviti, Artikel Keibubapaan, Pusat - No comments


BANDAR BARU BANGI, 19 April-Kebanyakan ibu bapa kini hanya mampu memelihara anak-anak, tetapi cuai dalam pembentukan sebenar mereka, kata Ustazah Norlida Kamarudin, Timbalan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Anak Soleh Anak Cemerlang (ASAC) di Pejabat ISMA Pusat, di sini hari ini.

Anak-anak harus dididik supaya mereka bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai sahsiah yang mulia, memahami isu-isu semasa, mampu memimpin keluarga dan mempunyai kemahiran keibubapaan, katanya.

“Anak yang soleh dan solehah inilah merupakan aset utama ibu bapa untuk mendoakan mereka apabila mereka telah meninggal dunia,” kata Ustazah Norlida lagi.

Menurut beliau lagi, keruntuhan akhlak para remaja yang berlaku kini boleh membawa kepada kemerosotan ekonomi, tergugatnya kestabilan politik dan keruntuhan sosial sesebuah negara dan ini menggambarkan betapa rendahnya maruah dan jati diri umat Islam pada hari ini.

Ustazah Norlida menyeru seluruh individu termasuk ibubapa, para guru dan individu yang sudah berumah tangga atau masih bujang untuk melakukan persediaan untuk memahami psikologi anak-anak dan mendidik anak-anak bermula dengan pemilihan pasangan, ketika anak masih dalam kandungan hingga mereka meningkat remaja.

“Ini kerana pembentukan individu yang mempunyai keperibadian yang hebat akan melahirkan rumah tangga yang cemerlang dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang hebat,” tambahnya.

ASAC dan ISAC yang akan dilaksanakan pada 21 April dan 22 April ini bertujuan untuk berkongsi dengan masyarakat informasi dan pengalaman untuk melahirkan anak-anak yang mampu menjadi pemimpin masa hadapan, membudayakan kehidupan Islam dan memahami psikologi dan makanan anak-anak, ulas Ustazah Norlida.

“Seminar yang dianjurkan ini merupakan salah satu produk sumbangan ISMA kepada negara dalam mengurangkan masalah sosial yang melanda masyarakat kini”, ujarnya.

Disediakan oleh,


Nazariyah Yahaya
Wartawan
Media Wanita ISMA

Leave a Comment