
Kuala Lumpur, 28 Feb – Prof Madya Dr Rafidah Hanim bt Mokhtar telah mewakili badan bukan kerajaan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam mendapatkan gambaran yang jelas berhubung isu pelalian vaksin Human Papilloma Virus (HPV) bagi mencegah kanser serviks, yang hangat dipertikaikan masyarakat tentang kewajarannya, di dalam satu diskusi ilmiah yang diadakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kompleks Pusat Islam, di sini.
Isu ini berlatarbelakangkan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang telah membincangkan dan meluluskan isu vaksin ini dari sudut halal dan haramnya, bukan dari sudut pendekatannya dalam bentuk kini iaitu pelalian kepada anak-anak gadis berusia 13 tahun ke atas. Pendekatan inilah yang melahirkan kebimbangan sebahagian pihak kerana jangkitan HPV secara umumnya berjangkit melalui hubungan seks rambang.
Selaku ahli jawatankuasa pusat i-Medik ISMA dan ahli Majlis Wanita ISMA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim menyarankan bahawa perlu diadakan diskusi susulan melibatkan lebih banyak pihak seperti penyelidik bagi melihat kewajaran penyelidikan ‘clinical trial’ syarikat farmaseutikal dan pakar imunisasi bagi menjawab keraguan berhubung tahap umur pelalian dan pihak2 lain yang difikirkan wajar.
Perbincangan bertemakan Diskusi Intellektual Isu Semasa Wanita Islam ini yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah dipengerusikan oleh Y. Bhg. Prof Dato’ Dr Zaleha bin Kamaruddin, Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), merangkap Pengerusi Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI), dan turut dihadiri oleh Islamic Information and Service Foundation (IIS), IMAANA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan lain-lain.
Mastura Mohd
Wartawan Media Wanita ISMA
{jcomments on}





