Menggenggam PhD dalam kesibukan dakwah, keluarga dan kerjaya

Written by on September 9, 2017 in Aktiviti, Kawasan, Kerjaya, Tarbiyyah Wanita, Tokoh - Comments Off on Menggenggam PhD dalam kesibukan dakwah, keluarga dan kerjaya


photo_2017-09-09_06-13-30

Ustazah Hajjah Nornajwa Ghazali bersama suami, Ustaz Hj Agus Lokman Sulam (kiri) dan penyelianya (kanan)


IPOH, 7 September- Terlalu banyak pengalaman pahit dan manis yang terpaksa dilalui semasa menyambung pelajaran di peringkat PhD. Saya pernah memandu balik dari UM sambil menangis kerana banyak kesalahan yang perlu diperbaiki dalam penulisan tesis yang sudah siap.

Berikut luahan Ustazah Hajjah Nornajwa Ghazali, Ketua Wanita ISMA Ipoh yang telah lulus PhD baru-baru ini selepas 5 tahun bergelut. Beliau yang bertugas sebagai seorang pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru, Ipoh itu merupakan lepasan ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan kemudiannya menyambung pengajian di peringkat MA & PhD di Universiti Malaya. Suaminya, Ustaz Hj Agus Lokman Sulam merupakan pengetua Maahad Al-Islah, Teluk Intan.

Jelas beliau lagi, keinginan untuk menyambung pelajaran itu sudah ada sejak habis belajar di Mesir lagi dan keinginan itu semakin tinggi apabila sudah bekerja kerana ingin membina kepakaran dalam bidang yang diceburi. Namun, hasratnya itu terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu kerana tuntutan keluarga, suami, dan anak-anak. Apabila anak-anak sudah besar, hasrat itu disambung kembali. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan jalan kepada beliau kerana berjaya mendapat cuti dan tajaan biasiswa daripada KPM.

“Sokongan keluarga juga amat penting. Saya bersyukur kerana suami memainkan peranan seperti seorang penyelia di rumah apabila sering bertanya tentang perkembangan saya dalam penulisan tesis. Anak-anak juga memahami situasi ummi yang selalu bergelumang dengan tesis. Alhamdulillah sepanjang 5 tahun ni, saya tidak pernah ambil cuti dari kerja-kerja dakwah. Percayalah, jika ada kemahuan, Allah akan susunkan jalan kejayaan buat kita. ”

Beliau menasihati wanita-wanita muslimah di luar sana untuk meneruskan minat dan cita-cita jika ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana Islam tidak pernah menghalang wanita untuk berbuat demikian. Segala-galanya perlu dirancang dengan baik tanpa mengabaikan perkara-perkara wajib seperti mengurus rumahtangga dan dakwah.

“Bagi wanita yang sudah berumahtangga, redha suami, masa bersama dengan keluarga, hak didikan anak-anak, dan timbunan tugasan sebagai seorang pelajar memerlukan kebijaksanaan. Perjuangan mengejar PhD diibaratkan seperti mencabar diri sendiri untuk menamatkan pengajian dengan jayanya. Tiada yang mudah jika mahu berjaya. Pastinya kena bersiap siaga untuk berkorban, berjaga malam, dan bersedia untuk meninggalkan anak, suami, dan rumahtangga.

Akhir kata, beliau berdoa semoga kejayaan ini akan menjadi wasilah dan pemangkin untuk membina kecemerlangan diri dan ummah ke arah jalan yang diredhai Allah. Pergantungan kepada Allah adalah aspek yang sangat penting. Alhamdulillah, doa suami, anak-anak, bapa dan keluarga mertua, rakan sekerja dan akhawat ISMA adalah kekuatan saya untuk menghabiskan pengajian ini.

Comments are closed.