Wanita Sihat Ikon Ummah

Written by on July 10, 2017 in Aktiviti, Biro Wanita, Kawasan, Program & Projek Anjuran, Seminar Fiqh Wanita, Tokoh - Comments Off on Wanita Sihat Ikon Ummah

_DSC0101

DUNGUN, 8 Julai – Wanita adalah insan yang memainkan peranan terpenting dalam keluarga dan negara, berupaya memegang pelbagai topi tanggungjawab seorang isteri, ibu, pengurus rumah tangga dan juga seorang yang bekerjaya.

Sinonim dengan itu, kesihatan mental dan emosi yang baik adalah penting bagi seorang wanita agar kelangsungan kesejahteraan mereka yang di bawah jagaannya terpelihara.

Demikian menurut Dr Norzila Baharin ketika menyampaikan perkongsian slot ‘Kesihatan Mental dan Emosi Wanita’ di Seminar Fiqh Wanita di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun hari ini.

“Kajian mendapati wanita menghidap penyakit kemurungan adalah dua kali ganda berbanding lelaki dan pelbagai faktor dilihat menjadi penyumbang kepada hal ini. Wanita dari segi psikologi lebih cenderung merendah diri dan hilang kawalan selain daripada masalah rumah tangga yang menjadi faktor penyebab utama terjadinya masalah ini,” jelas beliau lagi yang merupakan Jawatankuasa Pusat Ikatan Pengamal Perubatan Malaysia(I-Medik) dan juga Ketua Biro Komunikasi dan Media Isma.

DSC_0152

Melalui slot forum ‘Wanita Jom Sihat!’, Puan Shazamawati Zam Hashari, Perunding Pemakanan menjelaskan bahawa peri pentingnya menjaga nikmat sihat bagi seorang wanita supaya dapat beribadat kepada Allah dengan sempurna disamping kita memelihara amanahNya.

“Kita adalah apa yang kita makan. Kelak di akhirat, Allah akan bertanya kembali kepada kita tentang apa yang kita makan,” tambah beliau lagi.

Ustazah Mardhiyyah Zamani, Timbalan Ketua Wanita Isma Cawangan Kuantan menambah bahawa untuk menjadikan seorang wanita itu ikon ummah, banyak tanggungjawab perlu digalasi untuk menggapainya dan seiring itu, tubuh badan yang sihat amatlah penting dalam perlaksanaannya.

“Rasulullah saw adalah contoh teladan yang baik, menjadi qudwah kepada umat seluruhnya. Baginda sangat mementingkan penjagaan kesihatan dengan memilih makanan yang terbaik dan sangat menitikberatkan aktiviti riadah, ” ujar beliau lagi yang juga seorang guru Bahasa Arab di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

DSC_0275

Seminar anjuran Wanita Isma Cawangan Dungun yang bertemakan ‘Wanita Sihat Ikon Ummah’ ini merupakan program julung-julung kalinya diadakan telah dihadiri lebih 200 orang telah memberikan kesedaran tentang pentingnya seorang wanita itu menjaga kesihatan baik dari segi fizikal, mental dan emosi, spiritual dan juga sosial.

Oleh,
Nur Akmal Ismail
Media Wanita ISMA Cawangan Dungun

Comments are closed.