Ringankan Beban, Eratkan Persaudaraan

Written by on June 12, 2017 in Aktiviti, Berita, Pusat, Ramadhan, Special Edition - Comments Off on Ringankan Beban, Eratkan Persaudaraan

photo_2017-06-12_10-36-11

Ahad 11 Jun- Projek Maidah Ramadhan 2017 Wanita Isma telah berjaya dilaksanakan dan sumbangan disasarkan kepada golongan asnaf di Flat Taman Semarak, Nilai pada hari ini jam 3 hingga 5 petang. Aktiviti ini telah dibantu oleh Puan Liza, isteri kepada Imam Masjid Al-Azim Nilai dan Puan Asfalaila bt Abu Bakar, Perunding Asfa Resources.

Antara objektif projek ini ialah untuk membantu golongan asnaf terutama golongan ibu tunggal dan golongan yang tidak bernasib baik. Ia juga dijalankan untuk mengambil keberkatan bulan Ramadan dengan menyantuni mereka yang kurang bernasib baik untuk berkongsi rezeki yang turut merupakan hak mereka yang telah ditentukan Allah.

Keluarga pertama yang disantuni ialah Puan Roshana seorang suri rumah yang mempunyai anak Down’s Syndrome berumur 5 tahun yang turut mengidap sakit jantung dan paru-paru dan sering dimasukkan ke hospital. Suaminya tidak boleh bekerja apabila penyakit anak ini datang. (Kisah lanjut di ismaweb.net)

Seterusnya mereka menyantuni Puan Maimon binti Ismail, seorang ibu tunggal yang mempunyai 2 orang anak. Beliau hanya bekerja sebagai tukang cuci pejabat.

Keluarga yang ketiga pula melibatkan Puan Hakimah yang mempunyai 4 orang anak dan menghidap masalah jantung serta bakal dibedah selepas Hari Raya nanti. Suaminya bekerja di kilang sementara salah seorang anaknya OKU.

Mereka turut menziarahi Puan Helmi, seorang nenek yang berumur 62 tahun. Beliau bersama suaminya sedang menyara cucunya, Ilham yang merupakan seorang anak yatim berumur 9 tahun. Ayah Ilham telah meninggal dunia dalam satu kemalangan 3 tahun lepas meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak.

Keluarga terakhir ialah Puan Salamina, seorang ibu tunggal yang hidup sebatang kara. Beliau telah kematian suami dan anak dalam suatu kemalangan. Sebelum ini beliau menyara diri dgn menjual kuih tetapi sejak beberapa tahun yg lepas beliau tidak sihat dan mempunyai pendapatan hanya RM10-15 sehari.

Wanita Isma berharap dengan projek yang dijalankan ini dapat memberikan sedikit kegembiraan buat mereka. Dengan ziarah ini Wanita Isma dapat mendalami perasaan mereka yang kurang bernasib baik, mendengar cerita mereka dan melihat sendiri kesusahan yang dialami. Wanita Isma turut berharap agar keluarga-keluarga ini terus diberikan kekuatan oleh Allah dalam mereka mengharungi dugaan hidup.

Comments are closed.