Kesihatan Gigi- Jangan Ambil Mudah

Written by on May 4, 2017 in Aktiviti, Kawasan, Usrah Wanita - Comments Off on Kesihatan Gigi- Jangan Ambil Mudah

Oleh: Noor Suhidayah Mohd Nor

photo_2017-05-04_10-03-42

KOTA BHARU, 29 April – “Sekarang, hampir semua benda orang nak cepat dan ambil mudah. Sehinggakan, sakit yang sedikit menjadi parah dan kronik barulah tergesa-gesa mahu berjumpa doktor.” Demikian luahan Dr. Nurhidayati Mokhtar, Doktor Pakar Pergigian HUSM, merangkap Naib Setiausaha Biro Keluarga dan Masyarakat dalam ucapan beliau di Usrah Wanita.

Pada kesempatan tersebut, Dr. Nurhidayati menasihati supaya muslimah perlu menjaga diri dalam setiap aspek, termasuklah menjaga gigi dengan betul. Beliau juga mengingatkan bahayanya kesan pengambilan makanan yang tidak seimbang dan gula yang banyak.

Tambahan pula, makanan segera seperti air minuman dalam tin, gula-gula dan sebagainya melemahkan sistem pertahanan gigi sehingga terkumpulnya plak dan menyebabkan karies. Masalah ni boleh menjadi teruk jika ianya berterusan tanpa rawatan dan pencegahan.

Terangnya lagi, pencegahan itu lebih baik dari merawat. Plak perlu dikawal dan pengambilan gula perlu dikurangkan. Beliau juga menasihati supaya melakukan pemeriksaan sendiri di rumah dan juga pemeriksaan berkala di klinik. Plak boleh dikawal dengan cara memberus gigi dengan betul, sekurang-kurangnya 2 kali sehari, floss gigi, guna ubat gigi yang berflorida dan menggunakan berus yang lembut. Ini penting kerana kuman mula berada pada gigi sejak gigi mula wujud lagi.

“Gigi adalah anugerah Allah, sama seperti anggota badan yang lain. Kenapa kita masih mengabaikannya sedangkan setiap gigi mempunyai fungsi yang berbeza-beza. Hargai lah gigi sama seperti organ lain. Jaga kebersihan gigi kerana kita tahu kebersihan adalah sebahagian dari iman. Didik lah anak-anak tentang penjagaan gigi sejak kecil. Ini kerana, gigi yang cantik dan bersih refleks kepada imej diri kita,” ujarnya sebagai penutup bicara.

Comments are closed.