Isteri Cerdik Dan Solehah Dambaan Suami

Written by on April 27, 2017 in Aktiviti, Kawasan, Kerana Aku Isteri Dia - Comments Off on Isteri Cerdik Dan Solehah Dambaan Suami

 

 

photo_2017-04-26_18-03-36

 


BANGI, 23 April – Sakinah mawaddah wa rahmah adalah asas kebahagiaan rumahtangga. Namun untuk mencapai tahap itu, seorang isteri haruslah berusaha untuk mencari kebahagiaan dalam rumahtangga.

Begitu jelas Ustazah Nurfatin Halil ketika menyampaikan slot “Bahagia Seorang Isteri” semalam.

Ustazah Norakhilah Baharin pula menambah, “Kebahagiaan di dalam rumah tangga itu bergantung kepada hasil usaha isteri itu sendiri.”

“Ada tiga perkara utama yang harus diambil berat dalam mengurus suami sekaligus dapat menjamin kelestarian rumahtangga iaitu makan, tidur dan rehat sang suami. Jadikan rumah kita sebagai tempat rehat yang paling selesa bagi sang suami.”

Puan Zaharah Johari pula berkata, “Suami yang keletihan balik dari tempat kerja haruslah diberikan layanan yang istimewa supaya dia mendapat ketenangannya di rumah bukannya di tempat lain. Oleh itu, isteri haruslah berani dan kreatif dalam menceriakan suasana di rumah supaya suami terhibur dan mendapat kekuatan yang secukupnya untuk keluar bekerja atau berdakwah.”

Selain itu, kebersihan dan kekemasan bilik tidur dan dapur adalah sesuatu yang perlu diambil berat bagi seorang isteri kerana dua tempat itu adalah ruang untuk suaminya berehat dan makan.

“Jika keadaan memaksa untuk sang isteri mengambil upah tukang cuci untuk membersihkan rumah kerana kesuntukan masa, maka ia haruslah dilakukan juga walaupun terpaksa membelanjakan sedikit wang.”

Tambah beliau lagi, kunci kebahagiaan seterusnya adalah sifat tawadhuk isteri. Walau bagaimana sosok suami sekalipun, dia masih seorang ketua keluarga yang mempunyai ego dan sifat perkasa. Jadi, isteri haruslah meraikan perbezaan fitrah antara mereka.

Program yang mengumpulkan ahli Wanita Isma Hulu Langat dan Kajang ini berjaya memberi semangat yang baru kepada mereka untuk pulang berbakti kepada suami dengan lebih bijak dan kreatif kerana syurga isteri terletak pada kebahagiaan dan keredhaan suami.

Comments are closed.