Mulianya dan hebatnya wanita kerana Islam, mampu menggoncang dunia

Written by on October 24, 2016 in Aktiviti, Kawasan, Seminar Fiqh Wanita - Comments Off on Mulianya dan hebatnya wanita kerana Islam, mampu menggoncang dunia

Seminar Fiqh Wanita

KUANTAN, 22 Oktober – Mulianya wanita kerana Islam dan hebatnya wanita kerana mereka adalah insan yang mampu menggoncang dunia seperti contoh yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh cendekiawan Islam wanita terdahulu.

Demikian menurut Ustazah Hayati Mohd Zari ketika menyampaikan ceramah di Seminar Fiqh Wanita Siri 2 yang telah berlangsung di Auditorium Kuliyyah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan semalam.

“Dalam kita menjadi seorang wanita muslimah yang bekerjaya, dan tampil hebat, kita sewajarnya mencontohi para cendekiawan tersebut seperti Saidatina Khadijah, yang merupakan isteri kepada Baginda Rasulullah S.A.W, Nusaybah Ummu Ammarah yang merupakan pejuang muslimah ketika Perang Uhud,dan Asma’ Abu Bakar yang juga merupakan sahabiah yang memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah serta ramai lagi tokoh-tokoh yang lain,” jelas beliau lagi yang merupakan Pegawai Sumber Manusia (Unit Latihan) Aman Palestin Berhad.

Tambah Ustazah Hayati lagi, wanita bekerjaya pada hari ini perlu meneladani peribadi unggul seperti Saidatina Khadijah R.A. kerana beliau merupakan seorang wanita yang bekerjaya, namun beliau mampu menjaga sebaik-baiknya kehormatan dan kesucian beliau ketika bermuamalat dengan pedagang-pedagang lain.

Menurutnya lagi, dalam banyak keadaan, Saidatina Khadijah juga menggunakan Maisarah sebagai perantara dalam berurusan diluar kawasan atau ketika berurusan bersama pedagang-pedangang lelaki yang lain.

Melalui slot forum yang bertemakan ‘Wanita Bekerjaya; Anggun, Sopan dan Efisien’ pula, Ustaz Norman Mohd Nor, Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan, menjelaskan bahawa hukum wanita bekerjaya di dalam Islam adalah harus dengan menepati beberapa syarat seperti kerjaya wanita tersebut perlu sesuai dengan fitrah, tidak melanggar batasan pergaulan, dan bekerja dengan matlamat yang jelas.

“Kerana tugas wanita yang utama masih lagi berfokuskan pada pendidikan dan kemenjadian anak-anak,” tambah beliau lagi yang juga merupakan seorang pendidik di Kolej Vokasional Kuantan.

Dr. Norbaiyah Mohamed Bakrim, Naib Ketua Wanita Isma Kuantan pula menambah bahawa wanita yang bekerjaya seharusnya menjaga hak-hak terhadap orang yang mereka dipertanggungjawabkan seperti suami dan anak-anak.

“Oleh hal yang demikian, wanita perlu bijak dalam mengatur masa bekerja dan masa untuk bersama dengan keluarga.

“Penggunaan media sosial pada hari ini contohnya seperti aplikasi Telegram, Whatsapp, Facebook dan sebagainya kadangkala telah merampas hak-hak wanita terhadap keluarganya,” jelas beliau yang juga merupakan Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan, UIAM Kuantan.

Di samping itu juga, Puan Nur Hazlin Mat Mushak, telah berkongsi sebuah hadits yang dipegang rapi oleh beliau dalam menjalankan tugas sebagai Jurutera Insturementasi dan Kawalan di PETRONAS Carigali, iaitu ;

“Jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, niscaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah”.

“Dengan prinsip yang jelas seperti ini, muslimah akan mampu menepis fitnah yang boleh menimpa ditempat kerja terutamanya apabila perlu berurusan dengan kaum yang berlainan jantina.

“Biarlah kita bekerja untuk menambah saham pahala, bukan lagi bekerja untuk menjemput maksiat dan dosa,” ujar beliau yang juga memegang amanah sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat, Biro Luar Negara Isma.

Seminar anjuran Wanita Isma yang dihadiri lebih 100 orang ini membawakan isu-isu mengenai cabaran wanita muslimah era milenia yang menuntut wanita untuk bekerja dan membuka mata para wanita untuk mencontohi peribadi tokoh-tokoh wanita muslimah dalam mengendalikan kerjaya mereka sehari-hari.

Oleh Zety An Nur Hisamudin

Comments are closed.