Pakai tudung, jual tudung satu ibadat, jangan sampai jadi dosa: Ketua Wanita Isma

Written by on April 6, 2016 in Pena Ketua Wanita - Comments Off on Pakai tudung, jual tudung satu ibadat, jangan sampai jadi dosa: Ketua Wanita Isma

dr norsalehaBANGI, Selasa – Pengusaha tudung yang terlibat dengan insiden perebutan di kalangan pembeli baru-baru ini dinasihati untuk menyediakan mekanisme yang memudahkan pelanggan untuk berurusan.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustazah Dr Norsaleha Mohd Salleh, berkata pengusaha sepatutnya menjaga kehormatan pembeli dan tidak membiarkan kejadian sebegitu berulang kembali.

“Sediakan tempat yang luas, satu gedung misalnya untuk memastikan orang ramai boleh masuk, boleh membeli dengan keadaan yang selesa.

“Saya rasa itu lebih baik daripada membiarkan pelanggan-pelanggan yang setia dengan kita terpaksa bermalam, beratur panjang, berebut, bergaduh hanya kerana hendak mendapatkan tudung kita yang istimewa itu ,” katanya kepada ismaweb.net hari ini.

Di samping itu, beliau turut menegur pengusaha tudung agar menyediakan tudung yang mengikut tuntutan syariat.

“Penjual yang menjual tudung juga perlu menjual tudung yang menutup aurat, yang menjaga kehormatan wanita.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai penjual tudung untuk memastikan tudung yang dijual itu patuh syariat, kerana di situlah kita boleh mengutip pahala ibadat dan bukan sekadar menyediakan tudung yang hanya kelihatan cantik tapi tidak patuh syariat,” tegasnya.

Para wanita yang hendak menutup aurat juga dinasihati agar tidak terlalu taksub terhadap sesuatu jenama sehingga mengabaikan tuntutan syariat yang sebenar.

“Tudung yang kita pakai itu adalah ibadah kepada Allah, samada kita pakai tudung, kita jual tudung, tujuan dia ibadat.

“Jangan sampai kita buat perkara baik, kita nak beli tudung, kita nak jual tudung, ia jadi dosa kepada kita sehingga menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Jangan sampai menyeksa diri, menyusahkan diri, seksa anak, menyusahkan anak-anak, terpaksa teman menunggu beratur, berebut.

“Tidak ada pun dalam tuntutan syariat kena berebut beli tudung,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustazah Norsaleha berkata, pemilihan tudung adalah luas dan seharusnya diutamakan kepada tudung yang betul-betul menutup aurat.

“Cari alternatif untuk dapatkan tudung yang patuh syariat, bukan tudung sekadar nak nampak cantik, kerana harga mahal dan sebagainya.

“Sebab tudung ada banyak di kedai lain, di pasar ada di butik ada, apa pun pilihan pastikan ia menutup aurat” katanya.

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Wartawan ISMAWEB.NET

Sumber: ismaweb.net

Comments are closed.