Penawar Buat Wanita

Written by on March 25, 2016 in Kolumnis, Perkahwinan & Isu Rumahtangga, Tokoh - Comments Off on Penawar Buat Wanita

jasa-isteri“Penat bekerja seharian, menurut kehendak majikan mengurus ragam rakan sekerja dan anak buah, melaksanakan tugas-tugas yang tercatat dan yang tak tercatat dalam job scope. Tahan lagi, be professional, just smile and wave (pesan betul-betul kat hati). Balik rumah pula tak sempat duduk, tukar lampin anak, singsing lengan masuk dapur siapkan juadah makan malam. Alamak! Singki pulak masih penuh dengan pinggan mangkuk semalam. Sambil masak nasi, basuh pinggan, basuh kain (masuk mesin sahaja, Alhamdulillah) potong bawang, yang si kecil menangis-menangis nak kena dukung. Tutup api kuali kejap, tidurkan cepat-cepat untuk terjun masuk dapur semula. Si suami pula panggil minta air teh ais kaw-kaw…..Kisah diteruskan dengan pelbagai episod silat dan lompat yang berakhir dengan si ibu superwomen mandi dan solat isyak jam 2 pagi”

Ini bukan kisah luar biasa, ini adalah kisah hari-hari dalam kehidupan biasa seorang wanita bergelar ibu dan isteri. Belum lagi selit kisah wanita pendakwah yang gigih berusrah, mengusrahkan dan mengatur strategi dakwah. Tangan yang menaip pun rasa letih nak rakam satu-satu apa yang seorang wanita lakukan seharian. Kadang-kala kepenatan luar biasa buat diri rasa lemah dan hendak menangis. Rasa nakkan masa untuk diri sendiri membelai dan memanjakan diri. Namun kepenatan itu akan sentiasa datang, tanggungjawab dan tugas-tugas tak mungkin berkurang. Kerja pejabat semakin banyak, anak semakin membesar semakin ramai juga mungkin, suami masih perlukan belaian dan perhatian. Betul tak? Mari saya kongsikan sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang bisa menghilangkan tekanan dan membuatkan segala susah payah kita berbaloi (bila berbaloi, kepenatan dan pengorbanan itu akan terasa mudah):

hadis sedekah

Hadith ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A , katanya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

Setiap tulang manusia perlu ada sedekah untuknya pada setiap hari yang matahari terbit padanya. Kamu berlaku adil antara dua orang (yang berkelahi) adalah sedekah. Kamu menolong lelaki mengawal haiwan tunggangannya, lalu kamu menolongnya menaiki haiwan itu atau kamu mengangkat barang-barangnya ke atas haiwan itu adalah sedekah. Kata-kata yang baik adalah sedekah. Setiap langkah yang kamu berjalan ke tempat sembahyang adalah sedekah. Kamu membuang sesuatu yang menyakiti manusia dari jalan juga adalah sedekah. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadith ini bagi saya bagaikan bam urut yang paling mujarab untuk merawat keletihan badan dan hati. Ia sering mengingatkan saya bahawa setiap sendi dan anggota yang dikurniakan Allah berhak untuk disedekahkan dengan cara kita melakukan amal-amal soleh dan kebaikan. Setiap kali melaksanakan sesuatu pekerjaan kebaikan, menunaikan hak orang lain terutama ibubapa, suami dan anak-anak, sebenarnya kita telah melaksanakan hak terhadap segenap anggota badan sama ada otot-otot, sendi-sendi, tulang-tulang yang terlibat dalam perlaksanaan tersebut. Dengan kata lain, segala kepenatan yang kita alami dalam melaksanakan tanggungjawab dan kebaikan sebenarnya adalah hak sedekah yang kita tunaikan terhadap diri kita sendiri. Lagi bertambah penat badan kita lagi bertambah sedekah kita terhadap setiap inci tubuh kita.

Kenapa perlu bersedekah kepada setiap inci tubuh kita? Kerana ia merupakan nikmat-nikmat Allah yang tak mungkin mampu dibayar nilainya kecuali dengan menggunakannya pada amalan kebaikan sebagai sedekah dan kesyukuran atas nikmat kurniaan-Nya. Seseorang mungkin menyangka kerehatan, urutan dan mandian yang menyenangkan sebagai menunaikan hak diri. Namun hak yang paling dituntut oleh setiap anggota tubuh kita adalah agar ia digunakan dalam mentaati Allah. Oleh itu, para wanita hebat yang saya kasihi, ikhlaskanlah hatimu, penatkanlah anggota badanmu dalam amal kebaikan, semoga setiap simpulan uratmu, setiap lenguh sendimu dan setiap keringat yang mengalir dalam melaksanakan ketaatan dan tanggung jawabmu bakal menjadi saksi untukmu beroleh kerehatan yang abadi di Syurga Ilahi. Sebagaimana orang yang berbuat zalim juga akan disaksikan baginya anggotanya sehingga mendapat penyiksaan di Neraka dalam firman-Nya:

fusilat: 20-21

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, maka bersaksilah pendengaran, penglihatan dan kulit mereka tentang apa yang telah dikerjakan oleh mereka. Dan mereka berkata kepada kulit: ‘Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?’ Kulit mereka menjawab: ‘Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berbicara, lalu telah menjadikan kami pandai berbicara (juga).” (Surah Fussilat 41:20-21)

ustazah kauhtar

 

Ustazah Kauthar Jamalludin
Aktivis Wanita ISMA
Ahli Majlis Ulama ISMA

Comments are closed.