Malu itu sebahagian daripada Iman

Written by on March 18, 2015 in Pena Ketua Wanita - 1 Comment

Kajian yang dilakukan ke atas anak remaja yang berusia 16 tahun, mendapati 9% daripada mereka tidak merasa malu untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Peratusan ini amat membimbangkan kita sebagai ibu bapa. Dalam kehidupan yang tiada sempadan, anak-anak remaja kita terdedah dengan berbagai cabaran yang bukan sahaja merosakkan akidah mereka, malah juga mengancam nilai dan akhlak.

Anak remaja kita semakin berani menunjukkan aksi yang tidak sopan dan bertentangan dengan akhlak dan adab Islam. Mereka tanpa segan silu mempamerkan aksi terkutuk seperti bercumbu-cumbuan, mendedahkan alat sulit, bergambar separuh bogel dalam laman sosial. Face book, instagram, tweeter dan you tube antara laman sosial yang menjadi tempat anak remaja kita berinteraksi dan berhubung dengan dunia luar.

Sebagai ibu bapa, kita tentu tidak mahu anak-anak kita termasuk dalam peratusan tersebut. Saya percaya perasaan ini dikongsi oleh semua ibu bapa yang cintakan agama dan mahu kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Sebab itulah perasaan malu perlu ditanam dalam jiwa anak-anak semenjak mereka masih kecil.

Malu itu fitrah yang mesti dipelihara

Sebenarnya perasaan malu merupakan fitrah manusia. Perasaan ini boleh dikesan pada seorang kanak-kanak seawal usia empat bulan. Apabila kanak-kanak berusia setahun perasaan malu boleh dikesan melalui tindak balas seperti memalingkan muka, memejamkan mata dan menutup muka dengan kedua-dua tangannya. Pada usia tiga tahun, kanak-kanak mula berasa malu apabila pergi ke rumah orang yang tidak dikenali, akan berada di pangkuan ibunya tanpa sepatah kata sehingga ia membiasakan diri dengan persekitaran.

Walau bagaimanapun, persekitaran banyak memainkan peranan dalam membentuk perasaan malu seseorang atau sebaliknya. Percampuran dan pergaulan yang luas menyumbang kepada berkurangnya perasaan malu. Oleh sebab itu ibu bapa digalakkan mengekalkan nilai malu yang sedia ada dalam jiwa anak-anak dengan menanamkan perasaan takwa dan iman kepada Allah SWT.

Malu pelindung dari maksiat

Perasaan malu dalam Islam adalah satu sifat yang positif dan baik. Sifat ini boleh melindungi anak remaja daripada melakukan maksiat dan perbuatan yang bertentangan dengan akhlak Islam. Ibn Qay?m mengumpamakan orang yang tiada sifat malu seperti mayat yang tidak bernyawa.

Tanda orang yang malu

Seseorang yang malu kepada Allah SWT akan  menjaga mata, telinga, lidah, perut dan anggota badan yang lain daripada melakukan maksiat. Perkara ini ditegaskan oleh hadis Rasulullah SAW yang bersabda dengan maksudnya;

Hendaklah kamu semua merasa malu dengan Allah dengan sebenar-benarnya. Para sahabat berkata; Syukur kepada Allah kerana kami malu kepada Allah wahai Rasulullah. Baginda berkata; Bukan begitu, malu kepada Allah yang sebenar-benarnya ialah memelihara kepala serta kandungannya, perut serta isinya dan mengingati maut serta kehancurannya. Sesiapa yang mahukan akhirat hendaklah ia tinggalkan perhiasan kehidupan dan mengutamakan akhirat daripada dunia. Sesiapa yang melakukan demikian ia sebenarnya malu kepada Allah (HR Tirmizi).

Bilakah malu itu boleh hilang?

Walau bagaimanapun, perasaan malu akan hilang daripada seseorang yang biasa melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Orang yang biasa melakukan kesalahan dan maksiat tidak akan mempedulikan pandangan buruk orang lain terhadap dirinya. Malah ramai dalam kalangan mereka tidak segan silu memberitahu perbuatan jahat mereka kepada orang lain sama ada secara lisan, tulisan di media massa dan laman sosial.

Cara mendidik perasaan malu kepada anak-anak

i-             Ibu bapa hendaklah sentiasa menceritakan kelebihan malu kepada anak-anak semenjak mereka kecil.

ii-           Memuji mereka apabila mereka menunjukkan perasaan malu seperti malu untuk berbual dengan kawan lelaki, malu melihat perbuatan maksiat dan porno, malu mendengar perkataan lucah dan lain-lain.

iii-          Mendedahkan tentang pahala orang yang mempunyai sifat malu serta dosa orang yang tidak malu.

iv-         Memberitahu tentang syurga bagi orang yang memelihara sifat malu dan neraka bagi mereka yang tidak malu kepada Allah.

v-           Membiasakan diri bergantung kepada diri sendiri seperti mandi sendiri, mengurus diri dan lain-lain. Seseorang yang tidak bergantung dengan orang lain akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

vi-         Mendidik jiwa tidak melampau batas dan merampas sesuatu yang bukan milik sendiri.

vii-        Membiasakan anak-anak menahan nafsu daripada melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan walaupun perkara itu paling disukai.

viii-       Mengelakkan penggunaan kata-kata kesat dan lucah dalam keluarga.

ix-         Membiasakan anak-anak tidak memakai pakaian yang menjolok mata di hadapan saudara mara dan kawan-kawan.

x-           Membiasakan anak-anak tidak menunjuk-nunjuk kelebihan diri kepada orang lain yang tidak berkaitan.

Perasaan malu adalah senjata seorang mukmin apabila berhadapan dengan cabaran dan dugaan hidup. Orang yang mempunyai sifat malu akan terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Hilangnya sifat malu akan membuka pintu kejahatan dan maksiat. Kerana orang yang tidak malu sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsunya. Sebab itulah saya lebih suka, seorang anak yang terlebih malu daripada anak yang tidak malu.

 

Oleh,

 
 
 

 

 

Dr. Norsaleha Mohd Salleh
Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber: Majalah Iman No; 35

One Comment on "Malu itu sebahagian daripada Iman"

  1. sdorttuiiplmnr December 12, 2015 at 5:32 am ·

    Very excellent information can be found on web site. “The quality of an organization can never exceed the quality of the minds that make it up.” by Harold R. McAlindon.

Comments are now closed for this article.