Sedia undang-undang baru halang diskriminasi terhadap wanita

Written by on March 9, 2015 in Isu Semasa, Pena Ketua Wanita, Uncategorized - Comments Off on Sedia undang-undang baru halang diskriminasi terhadap wanita

BANGI, 9 Mac – Kerajaan diminta menyediakan undang-undang dan peraturan baru bagi menjamin tiada diskriminasi berasaskan gender, perlindungan, keselamatan serta hak-hak dan maruah wanita.

Ketua Wanita ISMA, Dr Norsaleha Mohd Salleh, berkata segala peruntukan atau dasar yang hendak dibuat oleh kerajaan atau mana-mana pihak harus mengambil kira kesejahteraan wanita sebagai agenda utama.

“Ini semua adalah untuk kesejahteraan wanita agar terus terpelihara sejajar kedudukan mulia dan tinggi yang Allah Taala letakkan kepada wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut di seluruh negara, semalam. Beliau turut mengucapkan ‘Selamat Hari Wanita Sedunia, Muliamu Wanita Kerana Islam’.

Katanya, kesamarataan gender yang dicapai ketika ini sebenarnya belum berupaya memberikan keadilan yang optimum kepada kesejahteraan wanita.

“Kesejahteraan wanita itu harus diambil kira berdasarkan fungsi dan fitrah kejadiannya yang berbeza daripada kaum lelaki.

“Justeru, semua pihak harus menyediakan persekitaran yang kondusif, peruntukan khas termasuk penggubalan dasar yang boleh meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita dalam semua aspek termasuk fizikal, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, psikologi dan kerohanian, “ katanya ketika dihubungi wartawan Ismaweb.

Dr Norsaleha yang juga Ketua Jabatan Usuluddin, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor berkata, apabila golongan wanita keluar bekerja, mereka sekali gus meninggalkan waktu kualitinya bersama keluarga untuk negara.

“Kita ambil contoh wanita yang bekerja sebagai doktor, jururawat dan lain-lain, mereka terpaksa meninggalkan anak-anak untuk bekerja pada waktu malam. Semua itu memerlukan pengorbanan sebagai seorang isteri dan ibu,” katanya.

Oleh Siti Fatimah Ishak
Sumber: ismaweb.net

Comments are closed.