Perbahasan ulama tak sentuh isu usia

Written by on November 21, 2013 in Pena Ketua Wanita - No comments

Dalam Islam, hukum wanita berkahwin pasangan lebih muda itu harus selagi berlandaskan syariat. Asas sesebuah perkahwinan itu jelas iaitu saling menyukai, reda meredai antara pasangan. Walaupun perbezaan umur agak ketara antara wanita dengan pasangannya, tidak ada hukum dalam Islam melarang perkahwinan tersebut.

Walau bagaimanapun, ada yang menimbulkan isu sekufu. Adakah pasangan ini sekufu dari segi usia dan kematangan. Dalam perbahasan ulama tidak disentuh isu usia sebagai salah satu bentuk sekufu. Ulama banyak membahaskan sekufu dari sudut agama, status dan keturunan. Oleh itu usia berbeza bukanlah alasan kuat untuk mengatakan tidak sekufu, apatah lagi sekiranya pasangan tersebut saling menyukai satu sama lain.

Satu fakta tidak boleh dinafikan ialah kematangan sesorang lelaki berusia 20-an menyamai kematangan wanita berusia 30-an dan 40-an. Walaupun mereka masih muda jika dibandingkan dengan pasangan wanitanya, faktor kematangan dan kecekapan seorang lelaki mengurus dan menyelesaikan sesuatu isu tidak boleh dipertikaikan.

Halangan biasa berlaku dalam masyarakat hari ini bukanlah halangan agama, tetapi lebih kepada aspek budaya, kebiasaan dan sentimental perasaan ibu bapa dan keluarga itu sendiri. Kita boleh membayangkan perasaan seorang ibu yang bakal menerima calon menantu perempuannya yang sama usia dengannya atau lebih berusia daripadanya. Tentu malu dan segan kuat menguasainya apatah lagi bila berhadapan keluarga dan jiran.

Namun begitu, kemajuan sains dan teknologi hari ini menyaksikan ramai wanita berusia 40-an menampakkan kejelitaan dan susuk badan yang masih menarik seperti usia gadis 20-an. Ini juga mungkin antara faktor kenapa lelaki hari ini tidak segan silu memilih pasangan lebih dewasa daripada usia mereka.

Bagi ibu bapa yang teragak-agak merestui perkahwinan anak lelaki mereka, saya berpendapat, beri peluang kepada anak-anak memilih pasangan hidup sendiri kerana mereka yang akan bina dan bangunkan rumah tangga tersebut. Kita sebagai ibu bapa hendaklah memudahkan urusan dan mendoakan kebahagiaan serta kesejahteraan mereka.

Mungkin ada yang berkata, lelaki muda ada niat tertentu. Pada saya, niat itu hanya Allah yang tahu dan boleh menghukum. Apa pun apabila syarat perkahwinan itu sudah mencukupi, ia sudah tidak jadi isu.

Apa yang penting antara suami isteri adalah sifat hormat menghormati, berkasih sayang dan saling memahami. Si isteri tahu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik, mentaati suami, mengangkat suami sebagai ketua keluarga manakala suami pula menunaikan tanggungjawab dia sebagai suami, menjadi tonggak dalam rumah tangga.

 

Oleh,

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Comment