Wanita ISMA bertekad laksanakan misi dan visi ISMA

Written by on July 15, 2013 in Aktiviti, Pusat - No comments

Bangi, 14 Julai – Wanita ISMA telah menyertai Ijtima’ Am Agensi dan Biro ISMA 2013 yang berlangsung di Danau UKM hari ini.

Ijtima’ am yang membuka ruang perkenalan antara warga pusat ISMA ini telah dimulakan dengan ucaptama Presiden ISMA, pembentangan hala tuju ISMA, memperkenalkan struktur terbaru ISMA di samping mengadakan sesi dialog para AJK biro dan agensi ISMA bersama barisan JKP pusat.

Wanita ISMA menyokong penuh ucapan yang disampaikan oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd. Rahman yang menyeru seluruh warga pusat ISMA daripada semua biro dan agensi agar saling bantu membantu, bahu membahu dalam memenuhi visi dan misi ISMA.

Beliau menekankan peri pentingnya warga pusat ISMA memilih masa, waktu, ketetapan dan cara yang betul dalam melaksanakan sesuatu program yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.

Bagi melaksanakan tanggungjawab kepada agama dan masyarakat, ahli ISMA diminta untuk sentiasa bersiap siaga pada bila-bila masa yang diperlukan.

Tambahan itu, sebagai sebuah gerakan Islam yang sedang berkembang, ahli ISMA hendaklah sentiasa peka dengan ancaman yang terus mengasak status quo Melayu Islam yang sedang dimainkan oleh golongan chauvinist yang benci kepada islam.

“Wanita ISMA bertekad untuk bersama-sama warga pusat ISMA melaksanakan misi visi organisasi. Disamping itu, Wanita ISMA akan terus lantang bersuara mempertahankan kesucian agama Islam daripada terus dipersendakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab”, ujar Ustazah Norsaleha ketika ditemu ramah oleh wartawan Media Wanita ISMA.

Wanita ISMA berharap ijtima’ seumpama ini dijadikan program dwi bulanan kerana ia dapat menyelaraskan amal merentasi biro dan memupuk ukhuwah islamiah dalam kalangan warga ISMA Pusat.

Ijtima’ ini juga dapat menyuntik semangat ahli untuk terus bekerja dan beramal untuk agama, bangsa dan negara.

Leave a Comment