Adab pergaulan dalam keluarga

Written by on March 4, 2013 in Pena Ketua Wanita - No comments

Apa yang anda lakukan sekiranya mendengar anak-anak menjerit dan bertengkar sesama sendiri? Kadang-kadang pergaduhan antara mereka hanya disebabkan gurau senda yang akhirnya membawa kepada usik mengusik.

Kadang-kadang mereka bergaduh kerana berebut sesuatu atau mungkin juga kerana mahu menarik perhatian ibu bapa. Mungkin bagi anak perempuan pergaduhan mereka hanya sekadar bergaduh mulut. Namun, tidak bagi anak lelaki.

Pergaduhan antara anak lelaki akan melibatkan kaki tangan dan sepak terajang. Masa itu ilmu silat, kung fu, teakwondo dan gusti menjadi pemandangan yang cukup menarik. Silap langkah akan ada salah seorang yang cedera atau teruk kena belasah.

Sebagai ibu bapa, kita hendaklah melihat pergaduhan antara anak-anak ini secara positif dan negatif.
Yang positifnya ialah pergaduhan ini akan menjadi kenangan yang akan mereka bawa apabila meningkat dewasa. Pergaduhan juga mendidik mereka untuk menjadi seorang tahan lasak apabila berhadapan dengan masyarakat luar.

Mana kala yang negatifnya ialah pergaduhan ini boleh meretakkan hubungan adik beradik sekiranya tidak ditangani dengan baik. Mungkin juga boleh membawa kepada kecederaan dan kerosakan harta benda.

Biasanya pergaduhan antara adik beradik tidak kekal lama. Pagi ini mereka bergaduh, tengahari mereka boleh bermain dan bergurau senda. Sebab itu saya lebih cenderung, ibu bapa tidak perlu campur tangan dalam pergaduhan mereka, apatah lagi menunjukkan sokongan kepada mana-mana pihak.

Kadang-kadang campur tangan ibu bapa dalam pergaduhan anak-anak akan meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam jiwa anak yang tidak dibela. Mereka akan merasa tidak diadili dengan saksama dan akhirnya mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam diri.

Islam adalah agama yang mementingkan adab dalam pergaulan antara keluarga. Mengamalkan adab pergaulan dalam keluarga boleh membantu mengurangkan timbulnya perselisihan dan pergaduhan yang membawa kepada perpecahan antara anggota keluarga.

Berikut ialah adab pergaulan yang perlu dipelihara dalam keluarga;

1- Mengucap salam ketika bertemu dan berpisah

Ucapan salam merupakan satu doa kebaikan yang ditujukan kepada saudaranya. Mengamalkan ucapan salam apabila bertemu dan berpisah akan mengeratkan hubungan silaturahim sesame keluarga. Lebih berkesan lagi sekiranya ucapan salam itu diiringi dengan berjabat tangan antara dua saudara. Menurut hadis Rasulullah SAW, dosa orang yang berjabat tangan akan gugur seumpama gugurnya daun kering di musim luruh ketika itu angina bertiup kencang.

2- Berkasih sayang

Perasaan kasih sayang antara anggota keluarga perlu disemai dan dipupuk semenjak kecil. Ibu bapa perlu menunjukkan sifat kasih sayang seperti mencium dan memeluk mereka apabila perlu. Seorang sahabat datang berjumpa Rasulullah SAW. Tiba-tiba cucu baginda datang dan terus duduk di atas riba. Rasulullah SAW terus memeluk dan mencium cucu tersebut. Sahabat itu berkata bahawa dia mempunyai anak yang ramai. Tetapi tidak pernah memeluk atau mencium mereka. Rasulullah SAW membalas dengan berkata;

sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi.

3- Menjaga lidah

Menjaga lidah daripada menyakiti hati orang lain perlu diamalkan terlebih dahulu oleh para ibu bapa. Seorang suami yang menjaga lidahnya dari menyakiti hati isterinya akan menjadi qudwah kepada anak-anaknya. Begitu juga seorang isteri yang menjaga lidahnya daripada menyakiti hati suami akan menjadi contoh buat anak-anaknya.

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya agar berhati-hati apabila berkata-kata. Sebab itulah baginda lebih suka sekiranya kita berdiam diri daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati orang lain.

4- Merendah diri

Sikap merendah diri dan menghormati pendapat orang lain perlu diamalkan dalam anggota keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud,

Sesungguhnya Allah SWT telah mewahyukan kepadaku supaya kamu semua merendah diri sehingga tidak ada seorang pun yang berasa diri lebih daripada orang lain.

5- Sentiasa berbaik-baik

Islam amat menitik beratkan hubungan silaturahim antara keluarga. Oleh sebab itu Islam melarang sesiapa yang bergaduh kemudian tidak bertegur sapa melebihi tiga hari.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud,

Tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya melebihi tiga hari.

Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Yang terbaik antara kedua-duanya (yang tidak bertegur sapa) ialah orang yang mula memberi salam.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud,

Orang yang suka memaafkan itu, Allah akn tambahkan kemuliaan untuknya.

6- Saling tolong menolong

Ibu bapa boleh memberitahu anak-anak kelebihan suka menolong orang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

Sesungguhnya Allah akan menolong hambaNya yang sentiasa menolong saudaranya.

Sekiranya kita mahu Allah menolong dan memudahkan urusan, kita hendaklah rajin menolong orang lain terutamanya keluarga sendiri.

7- Meminta izin

Meminta izin adalah satu adab yang sangat tinggi nilainya. Anak-anak bukan sahaja dilatih untuk meminta izin daripada ibu bapa apabila mahu keluar daripada rumah. Tetapi mereka juga hendaklah dilatih meminta izin dengan ahli keluarga lain apabila mahukan sesuatu yang bukan hak milik mereka.

8- Menghormati yang tua, menyayangi yang kecil

Rasululllah SAW bersabda yang bermaksud,

Bukan termasuk dalam golonganku sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang tua.

Rasulullah SAW merupakan seorang yang suka kepada kanak-kanak. Baginda akan menegur dan bergurau dengan kanak-kanak yang ditemui sewaktu dalam perjalanan baginda.

Sebenarnya adab pergaulan dalam keluarga sangat banyak. Apa yang saya nyatakan di sini hanyalah sebahagian daripadanya sahaja. Sebagai ibu bapa, kita perlu menerapkan adab-adab Islam dalam kehidupan berkeluarga.

Adab-adab inilah yang akan membentuk jatidiri anak-anak dalam masyarakat dan menjadi sebutan orang. Apabila anak-anak ini membawa budaya yang baik dan akhlak yang mulia dalam masyarakat, tentu sekali orang akan bertanya, “SIAPA IBU BAPAMU”?

Oleh,

 

 

 

 

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh
Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber: Majalah Iman No; 13

Leave a Comment