Bintang Kecil Bersinar di Kuantan

Written by on November 22, 2012 in Aktiviti, Kawasan, NAZIM - Comments Off on Bintang Kecil Bersinar di Kuantan

Kuantan, 17 November –Biro Pembangunan Wanita dan Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan telah menganjurkan Festival NAZIM Zon Timur bertemakan ‘Anakku Petah Bijak Berani’.

Festival NAZIM yang bermatlamat untuk mengembangkan potensi diri dan bakat ahli-ahli NAZIM ini telah berjaya menarik penyertaan lebih kurang 150 peserta daripada 5 cawangan iaitu cawanagan Kuala Terengganu, Kemaman, Kelantan, Temerluh dan Kuantan, serta turut dihadiri ibu bapa dan ahli keluarga para peserta.

Sebanyak lima acara yang dipertandingkan iaitu pertandingan hafazan, bercerita kisah Rasul, syarahan bertemakan ‘Akhlak Mulia’, nasyid dan dikir barat.

Ternyata setiap peserta begitu bersungguh-sungguh memberikan persembahan terbaik, manakala para penonton terhibur dengan aksi-aksi mencuit hati daripada para peserta disamping beroleh pelbagai manfaat dari mesej Islam yang diterapkan dalam setiap persembahan.

‘Tahniah  diucapkan buat para pemenang dan syabas kepada semua peserta serta pengiring yang telah bertungkus lumus membuat persiapan yang terbaik untuk dipersembahkan dan dipertandingkan di Festival Nazim Zon Timur tahun 2012 ini, ‘ ucap Puan Zaharah binti Johari, Pengerusi NAZIM Pusat ketika merasmikan upacara penutup dan penyampaian hadiah buat para pemenang.

NAZIM Kuantan telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan dengan menjuarai pertandingan nasyid kategori perempuan, syarahan lelaki dan perempuan, hafazan tahap satu dan dua perempuan dan bercerita lelaki.

Pasukan Kelantan juga tidak kurang hebatnya dengan menjuarai acara dikir barat, nasyid lelaki dan hafazan kateori lelaki tahap satu.

NAZIM Cawangan Kemaman pula menjuarai acara bercerita perempuan manakala NAZIM cawangan Temerluh menjadi johan hafazan tahap dua lelaki.

Semoga bintang kecil yang digilap dalam festival ini terus bersinar menjadi duta Islam dan menjadikan hiburan salah satu medium dakwah Islam.

Oleh:
Wartawan ISMA Kuantan

Comments are closed.