Hamper Ramadhan

Written by on July 31, 2012 in Artikel Keibubapaan, Ramadhan - Comments Off on Hamper Ramadhan

Setiap kali tibanya bulan Ramadhan, pasti ibu bapa akan ligat memikirkan pelbagai taktik bagi melatih, menggalakkan dan memotivasikan anak-anak mereka yang masih kecil untuk berpuasa. Usaha yang dilakukan memang pelbagai, daripada menyediakan psikologi anak-anak sebulan sebelum Ramadhan hinggalah kepada menjanjikan duit raya dan hadiah yang banyak jika anak-anak itu berjaya berpuasa.

Pada kali ini, kami ingin kongsikan kepada anda suatu cara yang unik namun amat menarik untuk menggalakkan anak-anak berpuasa. Kaedah yang berbentuk ‘Hamper Ramadhan’ ini telah sekian lama dipraktikkan oleh Ustaz Halim dan isteri, Ustazah Farizah, sejak daripada anak sulung mereka lagi (yang kini sudah pun berusia 24 tahun) hinggalah kini, dan telah terbukti berkesan dalam menggalakkan anak-anak berpuasa. Apabila menjelangnya bulan puasa, mesyuarat keluarga akan diadakan dan anak-anak akan ditunjukkan ‘hadiah’ mereka seandainya mereka berpuasa pada Ramadhan tahun itu.

Menariknya kaedah yang dikongsikan oleh Ustaz Halim dan isteri ini adalah, ia bukan sekadar melatih anak-anak berpuasa sahaja, malah menggalakkan anak-anak untuk menghidupkan bulan Ramadhan itu dengan pelbagai ibadah lainnya. Iya, bukan sahaja berpuasa, malah mengimarahkan Ramadhan dengan amal ibadah juga perlu kita terapkan dalam diri anak-anak kita sejak kecil. Senarai amal ibadah yang mesti dilakukan oleh anak-anak itu, terpulang kepada ibubapa untuk menentukan berdasarkan apa yang dirasakan sesuai untuk umur anak-anak mereka. Diantaranya termasuklah berpuasa, membaca al-Quran, menunaikan solat terawikh, bersedekah, membantu mengemas rumah dan pelbagai perkara lainnya. Jadual markah harian kemudiannya disediakan untuk setiap seorang anak dan ditampal di ruangan keluarga untuk ditanda oleh anak-anak pada setiap hari. Markah penuh akan seterusnya dikira di akhir bulan Ramadhan. Ini secara tidak langsung mengajar anak-anak untuk berlumba-lumba dalam perkara kebaikan.

Konsep ‘Hamper Ramadhan’ ini bukan setakat itu sahaja. Malah, anak-anak yang terlalu kecil untuk berpuasa, solat dan baca Quran juga boleh terlibat sama dalam perlumbaan kearah kebaikan ini. Caranya, anak-anak yang masih kecil ini akan dipadankan dengan seorang abang atau kakak mereka yang lebih tua, dan mereka akan menumpang markah abang atau kakak mereka itu. Ini bermakna, jika kakak atau abang mereka itu menang, mereka juga akan menang. Pastinya, anak-anak yang masih kecil ini akan menggalakkan abang atau kakak mereka untuk beramal sebanyaknya agar mereka juga dapat ‘menuntut’ hadiah dariapda ‘Hamper Ramadhan’.

‘Hamper Ramadhan’ kemudiannya akan dibuka setelah kembalinya daripada Solat Aidilfitri. Pemenang pertama yang mendapat markah paling tinggi (yang terdiri daripada si abang atau kakak bersama adik gandingan mereka) akan pilih dulu hadiah apa yang mereka mahu dari dalam ‘Hamper Ramadhan’. Seterusnya, pemenang kedua pula akan membuat pilihan dan begitulah seterusnya sehinggalah habis semua hadiah dalam hamper itu. Menurut Ustaz Halim, pada kebiasaannya setelah itu, semua makanan akan dimakan bersama-sama. Kaedah ini bukan sahaja berkesan malah meninggalkan kenangan yang sangat indah dan mendalam dalam hati anak-anak.

 

Disediakan oleh: Team wanitaisma.net

Comments are closed.