NAZIM segarkan generasi baru

Written by on June 19, 2012 in NAZIM, Program & Projek Anjuran, Uncategorized - Comments Off on NAZIM segarkan generasi baru

CHUKAI, 16 Jun – Kelab Anak-Anak Islam Hebat Malaysia (NAZIM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah berjaya menganjurkan karnival sukan bertemakan permainan tradisional di padang SMK Premier Chukai di sini hari ini.

Karnival sukan peringkat zon timur 2012 yang disertai NAZIM Kelantan, NAZIM Terengganu dan NAZIM Pahang antaranya bertujuan untuk memartabatkan dan  mengingatkan kembali kepada anak bangsa tentang sukan budaya tradisi di Malaysia.

Menurut Pengarah Program, Puan Wan Suriyani binti Wan Hussin, nilai budaya dan adat Melayu kian terhakis apabila anak-anak kita lebih mengenali permainan video dan komputer berbanding permainan tradisional.

Sehubungan dengan itu, karnival sukan tahunan kali ini yang dianjurkan oleh NAZIM Kemaman tampil berbeza dengan membawa tema sukan tradisional untuk memperkenalkan kepada para generasi baru kanak-kanak untuk membentuk peribadi jatidiri yang kukuh dalam meredah ancaman arus globalisasi.

Manakala Yang Dipertua ISMA Kemaman, Tuan Haji Mohd Zulkifli bin Ibrahim dalam perutusan perasmian beliau yang disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua ISMA Kemaman,  Tuan Haji Sufkeri bin Ibrahim  memberikan harapan agar agensi-agensi lain seperti sekolah dan IPT akan menganjurkan program yang serupa dalam skala yang lebih besar.

Pelbagai jenis sukan tradisional seperti tarik upih, terompah tempurung, baling tin, boling kelapa, ayunan kain batik dan sepak raga kain pelikat telah diadakan dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta pertandingan.

Selain itu, acara karnival sukan ini juga turut diserikan dengan acara perarakan perbarisan setiap kontinjen yang tampil dengan imej tradisonal tersendiri.

Karnival sukan NAZIM Zon Pantai Timur kali ini telah dimenangi oleh kontinjen NAZIM Terengganu diikuti oleh kontinjen NAZIM Pahang dan kontinjen NAZIM Kelantan.

Sumber : ISMA pusat

Comments are closed.