Surat cinta anak remaja

Written by on April 12, 2012 in Artikel Keibubapaan, Kolumnis - 2 Comments

Kelmarin, saya diajukan satu soalan yang mencuit hati.

“Kak Min, macam mana kita nak berdepan dengan anak lelaki yang baru berusia mencecah 14 tahun, tapi sudah dikirimkan surat cinta oleh rakan sekolahnya yang sama-sama satu kelas. Apa yang patut saya katakan pada dia? Memadaikah kalau saya katakan, ‘pedulikan sahaja surat dan pengirimnya. Buat tidak faham sudah.’ Atau ada lagi kaedah yang lebih baik dan lebih berkesan untuk saya menjawab soalan anak bujang saya itu? Saya tidak tahu  sangat hal-hal seperti ini Kak Min.”

Lucunya kerana saya terkenang kisah anakanda sendiri, lebih kurang 4 tahun yang lalu. Waktu itu anak ‘teruna’ saya baru masuk tahun satu. Sudahlah masuknya pun awal setahun, hadir ke sekolah pun kadang-kadang masih dalam sendu kalau emak tak hantarkan sampai ke pintu kelas, baru beberapa bulan di sekolah, dah ada pulak ‘makwe’ yang daring meluah rasa.

“Saya CINTAkan awak, sebab awak comel dan baik.”

MasyaAllah, tahu ke dia, si pengirim tu, akan apa makna cinta…? Umh, umh, umh…

Itulah dia anak zaman sekarang. Terlalu banyak pendedahan dan input yang mereka perolehi, terima kasih kepada  internet. Anak-anak kita menjadi ’cepat matang’ sebelum usia matangnya yang sebenar. Bila orang membicarakan soal cinta, dia pun nak ikut sama bercinta. Walhal, bukan faham sangat pun. Apa itu cinta. Berbalik kepada remaja 14 tahun tadi.

Saya katakan kepada si ibu,

“Bersyukurlah anak mahu datang bercerita pada kita.’ Kerana apa? Kerana itu adalah merupakan peluang untuk kita masukkan pengajaran-pengajaran kepadanya, tanpa membuatkan dia merasa kita sedang ‘invading privacy’ dia, kalau tidak  semena-mena, kita yang memulakan topik bicara.”

Peluang yang terbuka ini, harus dioptimumkan oleh si ibu untuk memberi input yang sebaik-baiknya kepada anak-anak  supaya dia lebih memahami, lebih selesa dan lebih percaya untuk berkongsi segalanya dengan kita. Bukan senang dan tidak ramai remaja sekarang yang sanggup menjadikan ibubapanya sebagai rakan berkongsi cerita, apatah lagi cerita cintan cintun alam remaja.

Rebut peluang itu wahai ibu, jangan biarkan dia terasa bahawa kita merasa jengkel dengan kerenah remaja masa kini. Itu akan hanya menyebabkan dia menjauhkan diri di masa-masa akan datang nanti.

‘Kenapa perlu aku kongsi dengan mak yang pandang sebelah mata je dengan perkara-perkara seperti  ini? Mak orang tua, jelas dia tidak faham. Lain kali, kongsi dengan orang lain lagi bagus.’

Mungkin itu yang tercetus di hatinya bila tindakbalas kita sekadar;

“Sudahlah along, jangan dilayan perkara-perkara merepek macam tu. Buang masa along aje. Baik fokus pada pelajaran along tu.”

Padahal, dalam jiwanya memang telah timbul persoalan tersebut. Cuma tidak tahu bagaimana hendak bercerita. Pelbagai perkara  yang dia daripada  kawan-kawan,  internet dan sebagainya. Kini dia keliru dan mengharapkan kita boleh memberi pencerahan.

Cuba pendekatan sebegini:

“Wah, along dapat surat cinta? Are you sure bukan along yang mula hantar, then dia balas pulak?” Sengaja nak menceriakan suasana dengan sedikit usikan.

“Macam ni lah along. Sebenarnya, perasaan cinta itu adalah satu anugerah Allah. Bayangkan kalau dunia ni Allah tidak kirimkan perasaan cinta tu? Along rasa macamana?” Beri peluang pada dia untuk berfikir sendiri.

“Tapi setiap yang Allah kirimkan itu juga, sebenarnya adalah ujian untuk kita. Kita hargai perasaan cinta tu, sebab manusia memang perlu pada cinta. Tapi sebagai hamba Allah, kita ada peraturan. Ada halal dan haramnya, sebagaimana yang Allah sudah tetapkan, sebab Allah Maha Tahu mana yang baik untuk kita, mana yang tidak.

Cinta kepada Allah, memang perlu. Cinta kepada Rasulullah saw juga perlu, sebagai manifestasi cinta kita kepada Allah jugak. Kemudian datang cinta sesama makhluk, nah di sinilah ujiannya. Walaupun sudah jatuh cinta, tetapi ada syarat-syaratnya. Layan hanya pada cinta yang halal untuk kita. Cinta suami isteri, halal. Sayang kasih sesama adik beradik, itu halal. Yang haram tu, kita kekang dia. Timbul perasaan, tidak boleh nak dielak, tapi layan tak layan itu adalah jihad dipihak kita. Setiap mujahadah, ada ganjaran pahala, kan. Ini peluang Allah nak bagi pahala kepada kita lah ni.” Bagi semangat supaya timbul keinginan dalam dirinya, untuk merebut pahala tu.

“Along jangan ejek, jangan hina. Takut-takut nanti Allah uji kita pulak satu hari nanti. Tiba-tiba kot kita pulak yang ‘terhantar’ surat cinta ke orang yang kita rasa kita cinta. Tak haru nanti? Kita bersangka baik kepada dia yang hantar;

Dia ni tak berapa faham lagi agaknya tentang tuntutan Islam dalam menangani masalah cinta yang masih belum halal. Masih jahil…

Dia ni nak test aku je kot….?

Jadi, di pihak along, along diam sahaja, jangan layan. Nanti dia faham sendirilah insyaAllah. Yang penting, along sendiri jelas dan faham, buat sesuatu kerana Allah, tinggalkan sesuatu pun kerana Allah.”

Kalaulah kita boleh berinteraksi dengan anak-anak  kita sedemikian rupa, agak-agaknya, selesa tidak mereka? Perlukah mereka mencari kawan di luar untuk dikongsi sabarang masalah atau kemusykilan?

Mengikut pengalaman saya, anak-anak akan hargai usaha kita itu, kerana:

1. Kita faham jiwa remaja mereka
2. Kita tidak pandang rendah pada naluri mereka
3. Kita mahu berkongsi idea dan memberi input positif kepada mereka.

Natijahnya, mereka selesa menceritakan masalah-masalah mereka dengan kita, sebab banyak ilmu yang dapat diperolehinya. Maka, ibu dan ayah perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu. Jadilah kita ibu bapa ‘sporting’ yang masih berlandaskan pada pertarbiyahan Islam, insyaAllah.
Wallahualam.

Disediakan oleh,

 
 
 

 

 

Puan Noorzaimeen A. Kadir,
Ahli Majlis Pembangunan Wanita & Keluarga ISMA
Blog:  http://meenkadir.wordpress.com

 

2 Comments on "Surat cinta anak remaja"

  1. seo fiverr January 2, 2016 at 3:12 pm ·

    I have read some just right stuff here. Definitely price bookmarking for revisiting. I wonder how much effort you set to create such a fantastic informative website.

  2. Platform January 6, 2016 at 6:42 pm ·

    Really informative blog article.Thanks Again. Fantastic.

Comments are now closed for this article.