Kes Dirang: Ibu, salah siapa?

Written by on March 22, 2012 in Karya - No comments

 
“Ibu, Dirang ni siapa? ”

Soalan bersahaja terpacul keluar dari mulut Izzati ketika menonton berita TV3. Terpaku menonton berita mengisahkan tentang kisah sadis Dirang, seorang budak berumur lima tahun mati dibunuh dan dibakar.

Soalan ibarat angin lalu. Tiada siapa yang menjawab. Ibunya juga tidak mengendahkan dia.

“Ibu… Ibu… Kenapa Dirang mati kena bakar? Dia buat apa?” Izzati bertanya lagi. Malah cuba menarik perhatian ibunya memandangkan ibunya masih tidak mempedulikannya.

“Ibu… Ibu… Jawablah Bu.” Sedikit merengek sambil menarik-narik hujung kain batik ibunya.

“Izzati, Dirang tu mati kena bakar sebab dia nakal. Mak dia suruh masuk rumah, dia tak nak. Mak dia suruh senyap pun dia tak nak.” Ibunya hanya membalas dengan tidak acuh. Dalam masa yang sama, satu andaian negatif dibuat kepada Dirang.

“Ibu sibuk ni. Banyak kerja nak buat. Pergi tanya abang tu.”

Izzati sekadar pasrah. Sudahlah menyalahkan Dirang, malah tidak membantu. Mencebik muka dan terus berlari mendapatkan abangnya.

“Bang… Bang. Tadi kan masa Izzati tengok berita, Izzati tengok ada budak perempuan kena bunuh. Kesian dia kan bang?”

“Oh. Dirang kan?”

Izzati mengangguk. “Kenapa dia kena bunuh bang? Dia kan kecik lagi?”

“Hmm… Abang rasa lah kan Izzati, dia kena bunuh sebab mak dia tak jaga dia betul-betul. Cuba dia jaga Dirang betul-betul, mesti dia tak kena bunuh punya.” Si abang menjawab dengan nada penuh keyakinan.

“Oh macam tu. Jadi mak dia lah yang jahat kan bang sebab tak jaga dia. Isy, apalah mak dia.”

Ada suara menyampuk tiba-tiba. “Mak dia memang masalah, jiran-jiran dia pun satu, pergi biar dia main sorang-sorang. Memanglah kena culik. Hidup dengan masyarakat macam tu memang lah masalah!”

Izzati memalingkan muka ke arah suara yang menyampuk itu. Tak sedar pula, kakaknya tiba-tiba ada dan tiba-tiba juga menyampuk. Kakak dia memang macam itu, kuat menyampuk.

“Ok. Mak dia jahat lepas tu kawan-kawan dia pun jahat sekali. Err… Izzati macam dah faham sikit.”

Abang mendekati Izzati. “Sini sekejap… Ada benda abang nak cakap sikit.”

“Kalau tanya ayah, mesti dia kata ini isu polis tak buat kerja. Cuba tanya ayah, betul punya abang teka. Hehe.” Abang Izzati membisik perlahan di telinga Izzati.

“Yeke?” Abang mengangguk perlahan. Lantas memberi isyarat tangan menyuruh Izzati pergi bertanya kepada ayah.

“Ayah… Ayah mesti tau kan pasal Dirang mati kena bakar. Abang kata ayah mesti salahkan polis. Abang kata mesti ayah kata polis tak buat kerja.” Bersahaja tanpa perasaan bertanya kepada ayah. Abang di belakang hanya menepuk dahi. Tak sangka adiknya begitu lurus bendul.

“Memang polis Malaysia malas! Tak pandai buat kerja. Dah banyak kes macam ni, tapi masih macam dahulu. Macam mana nak selesai?” Ditambah dengan gaya orang semangat sembang politik di kedai kopi. Ya, yakin sekali.

“Polis pun salah?” getus Izzati dalam hati.

Cekatan membilang satu persatu dengan jari kecilnya, daripada apa yang dikatakan ibunya hinggalah ke ayahnya. Seolah begitu rumit hingga berkerut dahinya.

“Macam banyak je orang yang salah ni…”

“Ok, ibu kata Dirang salah, lepas tu abang kata ibu Dirang yang salah. Kakak pula kata jiran-jiran yang salah. Hmm. Ayah pula kata polis salah sebab tak buat kerja.”

Akhirnya dia duduk semula menghadap televisyen selepas menjumpai satu kesimpulan mudah. Kesimpulan semua orang boleh faham. Semudah dan selogik pemikiran budak tujuh tahun.

“Kesemua orang salah? Macam semua orang tak buat kerja je.”

Hasil Nukilan:
Ahmad Nawfal Ahmad Fathel,
Markaz Lughah Azhar
Sumber: ISMA Mesir

Leave a Comment