NAZIM DHL tekad pupuk semangat jatidiri Melayu Muslim sejak kecil

Written by on March 16, 2012 in Aktiviti, Kawasan, NAZIM, Program & Projek Anjuran - Comments Off on NAZIM DHL tekad pupuk semangat jatidiri Melayu Muslim sejak kecil

PUTRAJAYA, 4 Mac – NAZIM DHL tekad untuk terus memupuk semangat jatidiri Melayu Islam dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar menghargai dan menghayati seni warisan Melayu Islam yang membumikan kekuatan agama Islam itu sendiri di Malaysia, tegas Puan Kamisah Bt. Jantan, Ketua NAZIM DHL.

Semangat perjuangan anak-anak Kelab Anak Hebat Malaysia cawangan Daerah Hulu Langat (NAZIM DHL) telah diperlihatkan melalui persembahan Silat Melayu di Ekspo Buku Islam 2 di Presint 3, Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Puan Kamisah lagi, silat, satu seni mempertahankan diri bagi orang Melayu adalah selaras dengan slogan ISMA, “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” selain menambahkan lagi kepelbagaian aktiviti NAZIM.

“Anak-anak NAZIM dapat menyelami unsur-unsur kehebatan, kesenian dan kegemilangan melayu melalui silat.” kata Ustaz Muhammad Amiruddin Husain, salah seorang pengelola NAZIM DHL, juga seorang guru bahasa Arab di sekolah rendah.

Menurut beliau, Silat Melayu memenuhi fitrah kanak-kanak yang aktif dan lasak ke arah aktiviti yang positif dan berfaedah dan melaluinya, pembentukan disiplin diri anak-anak dapat dipupuk.

Dr Nor Azyati bt Yusoff, ibu kepada salah seorang peserta Silat Melayu NAZIM, juga Pegawai Perubatan di Hospital Serdang, menyatakan bahawa beliau sangat teruja untuk melihat persembahan anak-anak dan bagaimana mereka mewarisi seni Silat Melayu. Beliau berharap aktiviti Silat Melayu menjadi salah satu aktiviti berterusan kelab NAZIM DHL dalam memupuk jati diri anak-anak.

Siti Farhana Bt Fathy
Wartawan Media ISMA
Sumber: ISMA DHL

Comments are closed.