Wanita Solehah itu..

Written by on September 30, 2011 in Pena Ketua Wanita - No comments

Wanita yang solehah adalah lambang keutuhan dan kekuatan sesebuah bangsa dan negara. Melalui pengorbanan dan kesabarannyalah akan lahirnya generasi yang baik, soleh lagi musleh untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanah air.

Melahirkan generasi wanita solehah perlu menjadi agenda sesebuah keluarga muslim bahkan masyarakat dan negara perlu menyokong agenda ini demi kelangsungan ummah pada masa hadapan.

Tangan yang menghayun buaian itulah jua tangan yang akan menggoncangkan dunia. Baiknya sesebuah masyarakat dilihat kepada nilai wanita yang ada dalam masyarakat tersebut. Dialah yang bertanggungjawab mendidik generasi dan paling dekat dengan anak-anak.

Keperihatinannya kepada keluarga dan pendidikan anak-anak membantu membentuk generasi yang merdeka daripada hawa nafsu, merdeka daripada pengaruh jahat, pemikiran songsang dan budaya yang negatif.

Ia diibaratkan seperti seketul hati yang berada dalam jasad manusia. Sekiranya hati itu baik, baiklah jasad itu keseluruhannya, sebaliknya sekiranya hati itu buruk, maka rosaklah jasad itu keseluruhannya.

Begitu jugalah kaum wanita. Pengaruhnya begitu kuat dan tinggi terhadap keperibadian generasi. Wanita yang solehah akan memastikan cahaya Islam menerangi keluarga dan generasinya, akan terus berjuang bagi memastikan cahaya itu tidak malap dan menjadi gelap gulita.

Di sebalik kehebatan seorang lelaki, berdiri teguh di belakangnya seorang wanita. Ungkapan ini menjadi pendorong untuk setiap wanita solehah berperanan dalam menyumbang kepada kemajuan dan perkembangan dakwah dan penyebaran agama Islam di dunia ini.

Berkat kesabaran, pengorbanan dan kesetiaannya mendorong kaum lelaki berjuang untuk kelangsungan hidup, memartabatkan kedaulatan bangsa dan agama, mengharumkan nama negara di mata dunia, menjadi pengusaha dan usahawan yang berjaya dan membina kehebatan dan tamadun.

Walau bagaimana pun, pengaruh yang negatif yang dibawa masuk oleh agenda Barat dan Humanisme menjadikan wanita Islam semakin jauh dari pegangan agama yang sebenar. Sifat takwa yang menjadi pakaian asasi dalam kehidupan seorang wanita muslimah semakin terhakis.

Mereka dengan berani mencabar perintah Allah swt sehingga sanggup meninggalkan suruhan wajib seperti solat, menutup aurat, pergaulan yang bebas, berzina dan lain-lain perbuatan sumbang yang lain.

Jatidiri seorang wanita muslimah semakin terhakis dan hilang dengan rakusnya. Berita-berita tentang wanita Islam yang melarikan diri mengikut teman lelaki, membuang bayi, terlibat dengan dadah dan rempit, berpeleseran dan melacurkan diri menghiasi dada-dada akhbar arus perdana.

Wanita muslimah hendaklah peka dan menyedari serangan agenda musuh yang cuba merosakkan identiti dan jatidiri mereka seperti fahaman humanisme dan arus globalisasi yang tidak terkawal.

Agenda ini menyerap masuk tanpa disedari dan secara halus melalui berbagai-bagai cara dan pendekatan seperti melalui media massa, sistem pendidikan, internet, pergaulan dan lain-lain.

Penghayatan wanita muslimah kepada tuntutan agama Islam dan akhlak Islam yang sebenar adalah benteng terkuat yang  mampu menangkis serangan musuh yang datang dalam bentuk pemikiran dan dakyah songsang.

Ini adalah kerana agenda musuh akan menjadikan wanita muslimah, manusia tanpa bangsa dan tanpa agama. Manusia yang tanpa bangsa dan tanpa agama, menjadikan kita manusia yang tiada agenda, identiti dan jati diri. Manusia yang tiada identiti dan jati diri akan sentiasa tunduk dan dipergunakan oleh orang lain.

Sehubungan dengan itu, wanita solehah perlu peka terhadap permasalahan ini dan tidak terjerat dalam perangkap agenda yang diatur oleh Barat. Justeru, saya menyeru diri saya dan seluruh wanita muslimah agar bangkit dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup.

Meletakkan agama sebagai pertimbangan dan neraca kehidupan. Inilah sahaja yang dapat menyelamatkan kita dari terpengaruh dengan budaya dan fahaman yang dibawa dalam era pasca moden. Inilah juga yang boleh menyelamatkan bangsa kita daripada terus bergelumang dengan maksiat dan kemurkaan Allah s.w.t.

 

Oleh:


Ustazah Norsaleha bt Mohd. Salleh

Ketua Wanita ISMA

Leave a Comment