Bukan sekadar satu garisan

“Umayr, Umayr lukis apa tu?” teringat sebuah perbualan pendek ini beberapa bulan yang lepas.

“Ni ayah, ni umi, ni adik, ni Umayr,” balas si kecil.

“Oh. Yang ni pulak?” saya bertanya tentang sebuah garisan kecil kelima yang dilukisnya.

“Ni pakcik.” Petah si kecil menjawab dengan tangan masih memegang pen dan menyelak kertas ke helaian seterusnya.

Si kecil dan imaginasinya. Si kecil dengan dunianya. Si kecil dalam gambaran kehidupannya.

Tersenyum dengan keletah si kecil. Itulah yang dibayangkan daripada sebuah garisan yang bagi kita, orang dewasa yang mungkin tidak membawa apa-apa makna. Tapi bagi si kecil, garisan yang dilukis itu walaupun tidaklah sesempurna mana lurusnya adalah satu gambaran besar tentang apa yang cuba dibumikan daripada imaginasinya ke atas satu helaian kertas kosong.

Dunia si kecil dan dunia kita jauh berbeza. Disebabkan tidak memahami si kecil dan “dunia kecil”nya, kita lebih suka untuk mengubah persepsi gambaran si kecil kepada apa yang kita gambarkan sebagai “itulah lukisan sebetulnya”.

“Bukan macam tulah. Lukis macam ni, manusia ada kepala, ada badan, ada tangan, ada kaki.”

Terkadang tanpa kita sedar, perbuatan kita sebenarnya telah menghadkan imaginasi si kecil. Menyempitkan skop pemikirannya untuk berimaginasi. Bermimpi. Berfikir di luar kotak fikiran. Dan perangai inilah yang terbawa-bawa sehingga si kecil meningkat dewasa. Dengan menghadkan kemahuan si kecil itu tentang impiannya. Bimbang si kecil akhirnya membesar dengan menjadi seorang kanak-kanak, remaja dan pemuda yang pasif.

“Bila besar, Adib kena jadi doktor tau. Tak pun engineer macam ayah.”

Kata-kata yang seringkali didengar. Bukanlah satu kesalahan, tapi ada ketikanya kita perlu juga untuk mengambil kira apa yang diimpikan buah hati kecil itu. Memang benar peranan ibubapa adalah sangat besar dalam pembentukkan anak-anak. Setiap ibubapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Tapi perlu juga untuk kita lihat dulu kemahuannya dan nilai dulu sama ada perlu atau tidak untuk kita memberikan pendapat yang berbeza berkenaan cita-citanya. Jangan terus menghalang kerana bimbang peranan kita akan ditolak disebabkan dia terus-terusan membesar dalam suasana di mana dia sentiasa di”perbetulkan” oleh kedua ibubapa tanpa diberi sedikitpun ruang untuk bermimpi. Tanpa diberi sedikitpun ruang untuk bebas dalam dunianya sendiri. Jadikanlah diri kita sebagai penasihat, bukan pengongkong.

Hadkan perkataan mustahil dalam kehidupan si kecil dengan harapan biar dia membesar dengan menjadi seorang yang bercita-cita tinggi. Seorang yang berjiwa besar.

“Macam manalah satu garisan itu adalah manusia.” Mungkin itu yang terdetik di hati apabila melihat lukisan tersebut.

Walaupun pada masa itu impiannya kelihatan mustahil, tapi adalah peranan kita sebagai ibubapa untuk menjadi pendokong dan penyokong kepada imaginasinya yang besar. Biarlah si kecil bertatih dengan agendanya yang tersendiri selagimana ia belum tersasar daripada kehidupan Islam dan akhirnya sedikit demi sedikit kita cuba untuk menuntun agendanya ke arah misi kita yang sebenar iaitu menerapkan ciri-ciri Islam ke dalam jiwa si kecil. Ke dalam agenda si kecil yang makin membesar.

“Umayr, cuba lukis kapal terbang. Acik nak tengok.” Cadang saya kepada si kecil berusia 3 tahun itu dengan harapan untuk menggalakkan dia berimaginasi. Dan hasilnya adalah segi tiga yang tidak bercantum. Sedikit tergelak apabila melihat lukisannya, saya bertanya lagi sekadar ingin tahu apa yang dibayangkan si kecil.

“Umayr lukis apa ni?”

“Umayr lukish kapa tebang, beshar,” balas si kecil dengan bahasa pelatnya dan gayanya yang tersendiri.

Ajarilah si kecil untuk meneroka “dunia kecil”nya sendiri supaya mendidiknya agar berjiwa besar. Moga satu hari nanti kita mampu menuntun jiwa kecil itu untuk bercita-cita tinggi dalam membangunkan umat beragenda. Moga mampu membumikan yang mustahil kepada realiti.

Nota kecil: tulisan ini hanyalah sekadar pandangan kerdil daripada saya yang dikutip berdasarkan pengalaman sepanjang diberikan amanah untuk menjaga anak-anak kecil di Adelaide pada masa-masa tertentu. Walaupun bukanlah anak sendiri, tapi peluang yang diberikan itu serta perkongsian daripada kakak-kakak yang sudah mendirikan baitul muslim membuatkan saya menyedari betapa pentingnya untuk setiap daripada kita, sama ada yang sudah berumah tangga atau belum, sama ada yang sudah mempunyai anak atau pun bakal mempunyai anak untuk betul-betul mempersiapkan diri dengan ilmu yang secukupnya berkaitan dengan pendidikan anak-anak. Moga para mujahid dan mujahidah yang bakal dilahirkan akan menjadi insan yang berjuang untuk ummah.

 

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

(Al-Furqan:74)

 

Hasil nukilan:

Nurul Fakhriah Ramli
Media Wanita
Terengganu

One Comment on "Bukan sekadar satu garisan"

Trackbacks for this post

  1. Bukan Sekadar Satu Garisan | at-Thariq Ilal Qulub

Leave a Comment