Wanita Solehah Peranan Besar Kaum Hawa
Peranan Besar Kaum Hawa PDF Print E-mail
User Rating: / 3
PoorBest 


Alhamdulillah, terdetik di hati ini untuk menceritakan perihal keistimewaan insan yang dinamakan perempuan. Betapa mulianya insan ini. Tangannya mampu menggoncang dunia biarpun lembut mengayun buaian.


Bukan ingin mengangkat diri ini kerana saya juga seorang perempuan tetapi ingin menyedarkan mereka yang pada saat ini sangat leka dan lalai dalam menilai indahnya penciptaan kaum hawa oleh Allah SWT.


Tidak ada sesuatu perkara itu dicipta tanpa sebab dan asbabnya. Diciptakan setiap makhluk itu punyai tugas dan tanggungjawabnya. Secara umumnya, ya! Memang setiap makhluk yang Allah ciptakan adalah semata-mata untuk beribadat kepadaNya. Firman Allah SWT,


"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku." (Surah Adz Dzaariyaat; ayat 56)


Apa yang saya ingin bincangkan secara terperincinya berkisar hanya pada insan yang bernama perempuan. Perempuan diciptakan oleh Allah dengan penuh keistimewaannya. Mereka fitrahnya dihiasi dengan adab yang sopan, tutur kata yang melembutkan jiwa yang mendengarnya, serta tindakan yang lemah lembut mampu mencairkan insan yang diberi nama lelaki.


Namun, dewasa ini kedudukan mereka telah disalah ertikan. Mereka kebanyakannya dianiaya, dipandang lemah, dan digunakan untuk memuaskan nafsu semata. Berulang kembali zaman jahiliah itu sebelum datangnya Islam dahulunya. Kedatangan Islam yang terus menaikkan martabat perempuan itu sendiri.


Di mana kesedaran kita? Mahukah kita kembali ke zaman yang lampau menyaksikan kaum hawa ditindas lagi. Sedangkan sudah jelas Islam itu sendirinya dianuti oleh majoriti bangsa kita sendiri. Tidak malukah bangsa kita, bangsa Melayu yang telah membawa imej yang buruk mewakili agama yang fitrahnya tersangatlah indah pada Allah yang sifatnya Maha Indah.


Telah Allah sediakan Al-Quran buat pedoman hidup. Surah An-Nisa' itu sendiri telah mempamerkan Islam begitu memandang kaum perempuan sebagai insan yang sangat istimewa. Begitu banyak hukum dan kaitannya tentang kaum hawa dalam surah ini. Telusurilah makna disebalik ayat-ayat Allah agar kita sendiri sedar maksud disebalik tiap-tiap ayatNya. Dan firman Allah SWT,


"Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak." (Surah An-Nisa'; ayat 19)


Dan di sini, Allah telah melarang keras orang-orang yang mempergunakan kaum hawa secara kasar dan tidak bertepatan dengan syariat Islam itu sendiri. Diperlihatkan juga, bagaimana orang-orang yang Allah berikan akal dan fikiran, namun masih menidakkan ayat Allah. Sedar ataupun tidak, perlakuan masyarakat kini terhadap golongan hawa seperti tidak ada asas yang menjadi kekuatan ummah Islam itu sendiri. Mana janji orang Islam untuk menjadikan rujukan utama kita hanya pada Al-Quran dan hadis.


Ayuh kita renungkan kembali. Namun, bukan sepenuhnya kita menyalahkan masyarakat yang melakukan penindasan itu. Perlu juga kaum hawa itu sendiri membuka mata yang mereka adalah insan yang Allah jadikan untuk kebaikan bukan keburukan. Mereka sendiri seharusnya sedar amanah itu. Sabda Rasulullah SAW,


Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad, dan An-Nasa’i).


Dalam hadis juga disebutkan istimewanya kaum hawa. Namun, keistimewaan itu dapat dilihat andainya mereka itu perempuan yang solehah. Andai mereka itu sebaliknya, kaum hawa boleh menjadi fitnah yang besar juga kepada kaum adam. Dan sabda Rasulullah SAW,


Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.”(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, at-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).


Janganlah kita jadikan diri kita ini sebagai kaum hawa yang membawa fitnah yang besar buat kaum adam. Menjadi tanggungjawab hawa sendiri untuk menjaga diri demi maruah yang Allah anugerahkan.


Manusia hanya Allah ciptakan dari dua golongan utama iaitu adam dan hawa. Maka, antara kehidupan golongan terbesar ini saling berkaitan. Sejauh mana kita menjadikan hubungan ini hubungan yang dirahmatiNya melalui ad-deen yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis.


Ingin saya ulaskan secara panjang lebar tentang golongan hawa yang sentiasa diwarwarkan menjadi tulang belakang kepada kejayaan kaum adam. Pernah jua kita dengar, disebalik kejayaan seseorang lelaki, pasti ada wanita dibelakangnya yang menjadi sayap kiri kepada kejayaan itu. Tidak kiralah siapa mereka itu, mungkin ibu, isteri, adik-adik mahupun seorang anak.


Perempuan solehah dikenal melalui peranannya sebagai ibu, isteri dan jua anak.


IBU


Ibu adalah insan yang menjadi tunjang kepada sebuah keluarga yang bahagia. Corakan dalam sesebuah rumah tangga biasanya dilakukan oleh ibu. Ibu yang melahirkan anak-anak dan menyusui mereka.


Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibubapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu. (Surah Luqman; ayat 14)


Didikan ilmu dunia mahupun akhirat jua biasa datangnya dari didikan ibu. Kesibukan ayah mencari nafkah menjadikan tanggungjawab ibu itu lebih tertumpu kepada anak-anak mereka. Merekalah yang menyediakan makanan, pakaian dan keselesaan bersama.


Allah jua telah menaikkan martabat ibu lebih tinggi dari ayah. Ibu juga adalah insan yang paling hampIr dengan anak-anak. Anak-anak kebiasaannya lebih selesa untuk bersama dengan ibu dalam meluahankan perasaan kerana jiwa seorang ibu ini tersangatlah sensitif.


Keihklasan ibu dalam menguruskan rumah tangga perlulah dihargai oleh seisi rumah. Tidak pernah dia meminta bayaran untuk semua yang dilakukan kerana kasih dan sayang ibu itu mengatasi segalanya. Mungkin dengan hanya melihat keselesaan anak-anak, kejayaan mereka sudah cukup membayar selautan pengorbanannya. Subhanallah, betapa Engkau menciptakan naluri ibu sungguh hebat.


ISTERI


Selain itu, isteri juga memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah rumah tangga yang sakinah. Telah Allah jadikan makhluk di atas muka bumi ini berpasangan. Seperti jua lelaki, dikurniakan perempuan sebagai pasangan.


Siapa yang menginginkan wanita yang buruk akhlaknya sebagai pendamping diri dalam melayarkan sebuah bahtera agung. Perempuan yang solehah adalah idaman setiap lelaki yang soleh. Allah SWT telah berfirman,


Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (Surah An-Nur'; 26)


Itulah janji Allah kepada kita, kaum hawa. Jadilah kita ini penyejuk kepada suami yang soleh, sayap kiri kepada sebuah rumah tangga yang bahagia disusuli dengan iman dan Islam. Lelaki juga akan memilih wanita untuk dikahwininya juga atas dasar agamanya, imannya dan akhlaknya. Sabda Rasulullah s.a.w. :


"Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara ini...kerana kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.. maka pilihlah kerana agamanya kerana akan beruntunglah kedua-dua tanganmu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Andai pemilihan atas dasar kekayaan, pasti suatu hari itu akan lenyap. Andai pada dasar kedudukan, pasti kedudukan itu akan jua digugurkan. Jika pada kecantikan, kecantikan itu jua akan hilang seiring dengan usia yang meningkat.


Isteri bertanggungjawab menjaga kebajikan si suami dengan memberi kebahagiaan kepadanya. Tugas seorang isteri memang juga tidak dinafikan tersangatlah penting kerana isteri juga memikul tanggungjawab seorang ibu.


Dengan kehadiran cahaya mata kurniaan Allah, maka kedua-dua tanggungjawab isteri dan ibu telah digalas olehnya. Isteri adalah teman yang paling hampir dengan suami. Isteri yang solehah adalah penawar racun hati seorang suami.


Isteri juga adalah tempat suami berkongsi masalah dan jua tempat berbincang. Patuhilah suami selagi tidak menyalahi syariat Islam. Carilah redha Allah itu dalam redha suami. Jadilah kita golongan hawa ini sebagai penenang buat adam yang halal bagi kita. Janji Allah itu pasti.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintu mana yang dia suka (mengikut pilihannya)" (Riwayat Ahmad.)


ANAK


Anak-anak adalah kurniaan besar dari Allah, hadiah kepada sesebuah rumah tangga. Anak-anak juga permata yang berharga kepada ibu dan bapanya. Keserian rumah tangga ditambah lagi dengan kehadiran mereka. Firman Allah SWT,


“Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki.” (Surah Asy Syuura; ayat 49)


Tanggunjawab menjaga anak perempuan merupakan satu amanah besar dari Allah SWT. Anak perempuan perlu diberi lebih kasih sayang kerana mereka punyai hati yang lebih sensitif. Adalah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa memelihara kehormatan dan aib mereka terutamanya dari segi aurat, memberi pendidikan agama kepada mereka agar mereka sedar dosa dan pahala terhadap setiap perbuatannya serta menjaga adab mereka.


Didiklah mereka sedari kecil lagi dengan syariat Islam agar kelak hati tenang dengan setiap tingkah lakunya. Ajarilah mereka seperti yang kita kehendaki daripada seorang bakal isteri dan seorang bakal ibu yang solehah. Ceritakanlah kisah keagungan wanita pada zaman Rasulullah s.a.w. agar mereka mengambil iktibar dari setiap perjuangannya.


Hawa, Insan yang tidak asing lagi dalam sejarah Islam. Ketabahan hatinya mampu menyaingi kekuatan seorang lelaki. Insan yang punyai tanggungjawab yang besar dalam Islam. Kembalikanlah era wanita diangkat tinggi oleh Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Hentikanlah penindasan ke atas hawa kerana kami jua insan yang punyai maruah dan cita-cita yang tinggi dalam memartabatkan agama, bangsa, negara dan keluarga.


Sekian,

Nur Akmal binti Ismail

Aktivis ISMA India (Perubatan)